suria

Himpunan 355: Tak Salah Jika Bermotif Politik - Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa menolak dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Himpunan 355 anjuran PAS pada Sabtu bermotifkan politik.

Jelas Annuar, jika bermotifkan politik sekali pun, bukannya menjadi satu kesalahan kerana ia dilakukan demi kepentingan umat Islam.

"Kenyataan Tun M itu sendiri pun sudah bermotifkan politik. Kita semua di Malaysia bermotifkan politik, dan seharusnya begitu. 

"Bukan jadi kesalahan kalau buat sesuatu bermotifkan politik sebab politik itu adalah soal kepentingan rakyat. Jangan pandang negatif," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penerangan Umno Pusat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa perhimpunan di Padang Merbok berniat untuk memancing undi rakyat pada pilihan raya umum akan datang. 

Sebelum itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berpendapat Malaysia tidak perlu mempunyai dua set undang-undang kerana ia akan dilihat berat sebelah.

Bagaimanapun, Annuar berkata, himpunan itu perlu diadakan bagi memberi penjelasan kepada rakyat mengenai usul Rang Undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 yang akan dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat, Mac ini.

"Saya percaya matlamat mereka untuk menunjukkan solidariti terhadap usaha memperkasakan mahkamah syariah. Saya fikir kesedaran itu patut dibuat sebab ada orang kata ia (pindaan akta) sebagai hudud dan macam-macam lagi.

"Oleh kerana usul itu akan ke parlimen tak lama lagi, saya fikir masyarakat perlu penjelasan yang melibatkan pentadbiran hal ehwal Islam. Saya fikir ia usaha yang perlu dihormati," katanya.

Himpunan 355, Annuar Musa, Mahathir

Artikel Lain