KUALA LUMPUR: Keputusan awal bedah siasat untuk mengetahui punca kematian Kim Jong-nam yang dibunuh pada Isnin lalu mungkin dapat diketahui seawal Rabu ini, kata Datuk Seri Dr S Subramaniam. Menteri Kesihatan itu berkata, kemungkinan itu diambil kira berdasarkan tempoh biasa untuk proses bedah siasat dan mengeluarkan laporan lengkap mengenai punca kematian abang tiri pemimpin Korea Utara itu. "Kita bercakap mengenai tempoh masa normal untuk melengkapkan proses bedah siasat dan mengeluarkan keputusan. "Dalam perkara ini, ya (keputusan pada Rabu)," katanya kepada pemberita pada sidang media pelancaran portal Cancerfly, sebuah portal peluang pekerjaan kepada bekas pesakit kanser di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin. Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada keputusan itu boleh diketahui pada dua hari lagi. Tegas Dr Subramaniam, kerajaan tidak mempunyai sebarang niat untuk menangguhkan (pengumuman) keputusan bedah siasat itu. "Sebaik sahaja kita dapat keputusan itu kita akan serahkan (kepada polis). Tiada sebab untuk kita tangguh keputusan itu," katanya. Sebaliknya, beliau berkata, proses bedah siasat tersebut akan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian Jong-nam. Pada masa sama, beliau meminta semua pihak memberi ruang dan kebebasan kepada pasukan forensik dan polis untuk menjalankan tugas. "Mereka tidak boleh diberi tekanan oleh kerajaan atau media untuk menyegerakan proses tersebut," katanya. Beliau berkata, sebaik sahaja pasukan foresik berpuas hati dengan hasil bedah siasat, maka keputusan itu akan diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan. "Sebaik sahaja kita dapat keputusan akhir, pasukan forensik akan serahkan kepada polis. "Saya tidak dimaklumkan perkembangan terbaharu mengenai proses itu kerana ia melibatkan forensik dan polis," katanya. Jong-nam maut akibat diserang dua wanita yang bertindak menekap cecair beracun pada mukanya ketika berada di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada Isnin lalu. Sebelum ini, sumber Hospital Kuala Lumpur, berkata mayat Jong-nam masih berada di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan tidak dapat dikeluarkan kerana sedang menunggu persetujuan serta proses dokumentasi dari Kedutaan Korea Utara serta pihak polis.