suria

Bagaimana Jong-nam Dibunuh

PETALING JAYA: Video sensasi tersebar menerusi YouTube mendedahkan serangan terhadap Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Isnin lalu.

Klip berdurasi lebih lima minit menunjukkan imej Jong-nam, memakai jaket biru dengan beg sandang sedang berjalan di lobi lapangan terbang itu dan melihat jadual penerbangan sebelum ke kios daftar masuk.

Kawasan daftar masuk kelihatkan agak sesak dan tiba-tiba dua wanita muncul dari arah bertentangan.

Wanita di belakang Jong-nam, berambut paras bahu mendekatinya sambil memegang kain dan menerkam dari belakang dan menerkap muka abang tiri pemimpin Korea Utara itu dengan kain itu.

Sekelip mata, kedua-dua wanita itu bergegas ke laluan dari mana mereka datang pada asalnya.

Wanita terlibat juga beberapa kali menoleh melihat mangsanya sambil bergegas meninggalkan lokasi kejadian.

Bagaimanapun, orang ramai yang berada di kawasan daftar masuk bagikan tidak sedar berlakunya serangan itu.

Wanita itu kelihatan seperti Doan Thi Huong, yang memakai blaus yang tertera perkataan "LOL".

Jong-nam kelihatan terkejut apabila diserang dan dilihat berjalan perlahan-lahan ke arah kaunter perkhidmatan pelanggan dan bercakap dengan dua petugas disitu, seorang lelaki dan wanita.

Petugas wanita itu kemudiannya membawa Jong-nam ke bahagian lain di bangunan itu di mana dua anggota polis beruniform mendengar aduan mereka.

Jong-nam dilihat sedang memberitahu apa yang berlaku padanya apabila menunjukkan sesuatu telah diletakkan pada mukanya.

Walaupun berulang kali menunjukkan pada mukanya, tetapi ketika itu, Jong-nam kelihatan tidak cedera.

Kemudiannya, dua anggota polis berkenaan membawanya ke klinik lapangan terbang itu.

Ketika itu juga, Jong-nam masih boleh berjalan dan tidak memerlukan sebarang bantuan. 

Klip itu seterusnya tamat sebaik Jong-nam memasuki kawasan klinik itu.

Beberapa jam kemudian, dia dilaporkan meninggal dunia.

Korea, Kim Jong-Nam, KLIA2, Bunuh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain