KUALA LUMPUR: Proses pengeluaran dan tuntutan mayat abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam adalah dibawah bidang kuasa polis. Menteri Kesihatan, Datuk Dr S Subramaniam berkata pihaknya akan bertindak mengikut arahan polis berkaitan perkara itu. Namun, katanya jika tiada ahli keluarga menuntut mayat Jong-nam, polis akan memutuskan sama ada melanjutkan tempoh menyimpan mayat atau mengeluarkannya. "Prosedur operasi polis akan memutuskan apa yang perlu dilakukan. Mereka akan buat pengumuman mengenai cara untuk menguruskan mayat itu," kata Subramaniam pada sidang media selepas merasmikan portal CancerFly di Hospital Kuala Lumpur pada Isnin. Beliau berkata, segala persoalan berkaitan kes kematian Jong-nam yang menjadi perhatian media antarabangsa ini seharusnya dijawab oleh pihak polis kerana ia kini menjadi perhatian antarabangsa. "Segala persoalan mengenai mengapa mangsa mati, polis ada jawapan dan keyakinan untuk menjawab segala persoalan itu," kata Subramaniam. Pada Ahad, polis memberi tempoh dua minggu kepada waris Jong-nam bagi menuntut mayat lelaki warga Korea Utara itu. Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, sehingga kini tiada mana-mana pihak tampil mengaku sebagai waris mangsa walaupun selepas enam hari dibunuh. "Setakat hari ini kami masih belum bertemu waris mangsa. Kami cuba untuk dapatkan kerjasama waris supaya datang membantu siasatan/ Sebelum itu, Subramaniam melancarkan portal pekerjaan Cancerfly dan CanBazaar HSKL 2017 yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Radioterapi dan Onkologi hospital tersebut pada Isnin. Portal www.cancerfly.com merupakan portal pekerjaan pertama khusus membantu bekas pesakit kanser memperoleh pekerjaan dengan mempamerkan produk atau perkhidmatan mereka kepada orang ramai.