suria

KPDNKK Rampas 998 Tong LPG Haram

PENGARAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Saifullizam Kamarul Zaman (kiri) dan Timbalannya Suhaimi Mat Sari (dua, kiri) meninjau sebahagian rampasan tong gas petroleum cecair (LPG) di Jalan Tasek Ipoh pada 21 Februari 2017. - BERNAMA

IPOH: Sebanyak 998 tong gas petroleum cecair (LPG) bernilai lebih RM100,000 yang dijual secara haram dirampas di sekitar daerah Kinta sejak Januari hingga Isnin.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata pihaknya melakukan serbuan di beberapa premis serta stor dan merampas tong gas berisi 12 dan 14 kilogram LPG.

Beliau berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah menyimpan barang kawalan melebihi had lesen yang ditetapkan, menjual kepada pemborong atau peruncit yang tidak memiliki lesen yang sah dan meletakkan barang kawalan di premis yang tidak berlesen.

"Menyimpan LPG melebihi had yang ditetapkan dalam lesen adalah satu kesalahan yang serius kerana ia melibatkan keselamatan kerana mungkin boleh berlaku kebakaran.

"Sekiranya penjual mahu menyimpan gas LPG melebihi had, mereka perlu membuat permohonan di pejabat KPDNKK dan kita akan mendapatkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat sama ada premis atau stor boleh menyimpan jumlah yang dikehendaki," katanya seperti dilaporkan Bernama pada Selasa.

Ditanya mengenai aduan berhubung bekalan gas LPG di Perak tidak mencukupi, Saifullizan menafikannya dan menyifatkan ia sebagai satu aduan yang nakal bagi menimbulkan rasa panik dalam kalangan rakyat.

'"Tidak ada isu dari segi bekalan LPG. Pemeriksaan bekalan stok LPG di kedai runcit terutama di sekitar Ipoh mendapati bekalan itu mencukupi malah melebihi untuk keperluan pengguna," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain