suria

Anggota SPRM Ditawar Diploma Pertingkat Kemahiran Menyiasat

Dr Hassan (kanan) bersama Kreutner pada majlis menandantangai MoU di Shah Alam pada 20 Februari 2017.

SHAH ALAM: Anggota daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi yang sama dari beberapa negara lain akan berpeluang untuk memiliki diploma dalam bidang kerja mereka.

Langkah itu merupakan sebahagian perancangan hasil majlis menandatani perjanjian bersama (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Akademi Anti Rasuah Antarabangsa (IACA) yang beribu pejabat di Austria pada Isnin.

Kerjasama tersebut merupakan sebahagian usaha global menangani gejala rasuah selain memperkasakan anggota penyiasat dengan Diploma Eksekutif Bidang Anti-Rasuah.

Setakat ini, mereka hanya diberikan sijil penyiasatan yang dikeluarkan oleh Akademi Anti Rasuah Malaysia.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Hassan Said dan Dekan IACA, Martin Kreutner di kampus universiti tersebut di sini.

"Kami merasakan pendidikan merupakan platform dan penggerak terbaik dalam meminimumkan masalah ini (rasuah) di negara dan seluruh dunia," kata Dr Hassan.

Turut hadir pada majlis itu adalah bekas Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed yang kini merupakan perunding khas UiTM.

Dalam pada itu, Dr Hassan berkata, perjanjian tersebut sangat bermakna buat UiTM memandangkan isu rasuah menjadi topik hangat di negara ini dan terdapat banyak perkara perlu dilakukan.

"Kita mahu melihat kerjasama degan IACA mampu meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran dalam menangani masalah tersebut.

"Menerusi kerjasama dua institusi itu, wujud peluang untuk melaksanakan kajian dan program akademik secara bersama," kata beliau.

Sementara itu, Dr Abu Kassim berkata, usaha memperkukuhkan pengetahun dan kemahiran siasatan rasuah amat penting.

Ujarnya, IACA merupakan institusi yang memastikan pihak yang terlibat dalam bidang tersebut diperkasa dengan pendidikan agar memiliki kemahiran yang seimbang.

"Saya merasakan langkah yang penting pada masa ini adalah mewujudkan keadaan, di mana sains seiring dengan amalan. Universiti adalah tempat di mana sains dan pengetahuan wujud bersama.

"Kami mahu anggota yang tamat pengajian di IACA memiliki pengetahuan, kemahiran, pemahaman tentang isu dan menyebarkan manfaat tersebut kepada rakan-rakan yang lain," katanya.

Selain itu, Dr Abu Kassim berkata, kerjasama tersebut akan mewujudkan satu platform untuk pelajar meraih pengetahuan dan pengalaman sebenar menentang rasuah serta memperkasakan anggota penguatkuasa.

Sementara itu, Kreutner berkata, rasuah tidak boleh dihapuskan sepenuhnya.

"Kita tidak boleh menghapuskan rasuah sepenuhnya tetapi kita boleh menjadikan dunia ini sebagai tempat yang lebih baik untuk menentang rasuah," katanya.

SPRM, IACA, UiTM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain