KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan dua suspek wanita yang menyerang Kim Jong-nam mengetahui kain yang ditekap pada muka mangsa mengandungi cecair beracun. "Ya sudah tentu mereka mengetahui mengenai cecair tersebut. Anda dapat lihat dalam video (lapangan terbang) mereka terus ke tandas untuk mencuci tangan," katanya pada sidang media di Bukit Aman, Rabu. Malah, Khalid berkata berdasarkan siasatan polis, kedua-dua wanita itu turut dilihat berlatih melakukan adegan tersebut di pusat membeli belah KLCC dan Pavillion sebelum bertindak menyerang mangsa. "Jadi kita percaya ia satu jenayah yang sudah dirancang dan kedua-dua suspek ini dilatih untuk melakukan serangan tersebut," katanya. Beliau turut menolak dakwaan bahawa kedua-dua suspek terlibat dalam penggambaran filem. "Ia bukan penggambaran filem. Mereka sudah tahu apa yang mereka buat," katanya. Ketika ditanya mengenai cara kedua-dua wanita itu menyerang Jong-nam, Khalid berkata, mereka melakukannya tanpa memakai sarung tangan "Mereka lakukan dengan tangan. Suspek warga Indonesia lalukan serangan pertama kemudian disusuli wanita warga Vietnam. "Dua wanita itu dipercayai dilatih untuk melakukan serangan, manakala suspek keempat memberikan cecair untuk disembur ke muka suspek," katanya. Diminta mengulas mengenai jenis cecair yang digunakan, Khalid berkata, Bukit Aman masih lagi menunggu laporan pasukan forensik. "Kita tak tahu bahan kimia yang digunakan. Kita masih lagi menunggu laporan makmal," katanya. Sementara itu, Khalid berkata, polis akan memohon lanjutan tahanan reman ke atas tiga suspek iaitu warga Indonesia, Siti Aisyah; wanita Vietnam, Doan Thi Huong dan suspek keempat, Ri Jong Chol. "Belum lagi (jumpa bukti) kita masih siasat. Kita akan sambung reman tujuh hari lagi. Kalau tak ada bukti (mereka) boleh dibebaskan," katanya. Bagaimanapun, Khalid berkata, suspek ketiga yang juga teman lelaki Siti Aisyah telah dibebaskan pada Rabu dengan jaminan polis. Jong-nam yang juga abang tiri pemimpim Korea Utara, Kim Jong-un berada di KLIA2 untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita tiba-tiba menekup mukanya dengan sehelai kain yang dipercayai mengandungi cecair beracun. Mangsa kemudiannya mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan di lapangan terbang itu dan segera dikejarkan ke Hospital Putrajaya, namun meninggal dunia ketika dalam perjalanan.