suria

Dua Lelaki Ditahan Sebar Berita Penculikan Palsu Di FB

MIRI: Polis Sarawak menyerbu rumah yang didiami dua lelaki pada tengah malam dan pukul 2 pagi dan menahan mereka kerana memuatnaik berita palsu menerusi Facebook berkaitan penculikan kanak-kanak di Sarawak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Asisten Komisioner Datuk Dev Kumar berkata, polis menahan seorang pengawal keselamatan dan seorang pemandu, kedua-duanya dari Sibu pada kira-kira 11.30 malam dan awal pagi Rabu.

Penahanan itu dilakukan di dua lokasi berbeza dan mereka telah mengaku memuatnaik berita palsu mengenai dua wanita yang mencari mangsa di kalangan kanak-kanak di negeri itu untuk diculik.

"Kedua-duanya menyalin dan membuat posting di Facebook dengan mendakwa polis telah mengeluarkan amaran kepada orang ramai mengenai sindiket penculikan kanak-kanan yang beroperasi di Sibujaya.

"Pihak polis tidak pernah mengeluarkan amaran seumpama itu.

"Posting itu mendakwa polis telah mengeluarkan amaran itu khususnya kepada sekolah supaya berjaga-jaga dengan kehadiran dua wanita itu yang terlibat dalam sindiket penculikan kanak-kanak.

"Berita palsu itu juga mendakwa polis sedang memburu tiga lelaki yang juga sebahagian sindiket berkenaan yang menggunakan kenderaan dengan tingkap bercemin gelap.

"Gambar kedua-dua wanita yang didakwa penculik itu juga disertakan dalam posting itu dan siasatan polis mendapati dakwaan itu palsu dan tiada insiden penculikan seperti dinyatakan," katanya.

Dev berkata, pihaknya menyiasat kedua-dua lelaki terlibat kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia.

Beliau berkata, pihaknya telah melakukan beberapa tangkapan sejak beberapa minggu lalu di Sarawak berkaitan penyebaran berita palsu menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyebabkan berita tanpa usul periksa.

Facebook, Sibuya, culik, Dev Kumar

Artikel Lain