suria

Lelaki Dipercayai Pesakit HSA Ditemui Lemas Di Pantai Lido

JOHOR BARU: Mayat seorang lelaki warga asing dipercayai pesakit dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) ditemukan lemas di Pantai Lido, di sini, awal pagi Rabu.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pegawai Bomba Kanan II Kamalrulzaman Saleh berkata mayat lelaki dianggar berusia 30-an itu ditemui pada 1.08 pagi, kira-kira 150 meter dari pantai.

Kamalrulzaman yang juga Penyelia Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Johor Bahru berkata mayat ditemukan anggota PPDA yang melakukan gerakan mencari dan menyelamat mangsa, sejak malam Selasa.

"Mayat mangsa yang masih berpakaian pesakit hospital kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Terdahulu, Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau menerima panggilan mengenai kejadian pada 7.12 malam Selasa.

Mangsa yang dipercayai dari Wad Barat HSA, sebelum itu dipercayai berada di kawasan pantai yang terketak kira-kira 100 meter dari bangunan induk HSA berkenaan, kira-kira 7 malam.

Selain bomba, gerakan mencari dan menyelamat mangsa turut disertai Angkatan Pertahanan Awam dan polis. - BERNAMA 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain