KUALA LUMPUR: Ri Jong Chol, warga Korea Utara yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin negara itu, tinggal di Malaysia lebih tiga tahun tanpa bekerja di syarikat yang didaftarkan dalam permit pekerjaannya. Ri, 47, mempunyai visa kerja Malaysia yang menunjukkan dia seorang kakitangan di Tombo Entreprise. Namun, pemilik syarikat itu memaklumkan dia tidak pernah bekerja di sana atau menerima gaji daripada sebuah firma perubatan herba kecil. Chong Ah Kow berkata dia memudahkan visa kerja Ri dengan menyatakan dalam dokumen sokongan bahawa lelaki itu merupakan seorang pengurus pembangunan produk di sebuah syarikat IT yang memperoleh pendapatan RM5,500 sebulan. Katanya, visa itu diperbaharui sekali pada Jun 2016. "Ia hanya satu formaliti, hanya dokumen, saya tidak pernah membayar gajinya. "Saya tidak tahu bagaimana dia boleh meneruskan kehidupan di sini. Saya tidak tahu bagaimana dia mendapat wang," kata Chong yang juga warga Malaysia dalam satu temubual. Chong yang kerap berkunjung ke Korea Utara berkata dia hanya cuba membantu Ri. Dia telah diambil keterangan oleh polis dan memberitahu Reuters bahawa dia bersedia berdepan sebarang kemungkinan kerana mengemukakan maklumat palsu kepada kerajaan. Chong yang masih berkawan dengan Ri berkata lelaki tersebut tinggal bersama isteri dan dua anaknya di Kuala Lumpur. Reuters tidak dapat mengesahkan sama ada Ri mempunyai sebarang pekerjaan atau sumber pendapatan lain. Polis tidak dapat dihubungi untuk menjelaskan bagaimana Ri menyara keluarganya di Malaysia. Ri ditahan sebagai suspek utama dalam kes pembunuhan Jong-nam. Polis juga tidak menyatakan secara terperinci mengenai peranan Ri dalam kes pembunuhan di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada Isnin lalu. Reuters tidak pasti sama ada Ri mempunyai peguam. Usaha untuk menghubungi kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur juga tidak berjaya. Chong berkata Ri menyewa sebuah apartmen di Kuchai Lama. Apartmen tiga bilik itu biasanya disewanya kira-kira RM1,500 - RM2,000 sebulan berdasarkan tinjauan di laman web hartanah. Anak perempuan Ri melanjutkan pengajian di Universiti HELP, sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur. Universiti tersebut pernah mengurniakan Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang ekonomi kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada 2013 di atas usaha beliau yang mementingkan pendidikan dan kesejahteraan rakyat di negaranya. Malh, universiti itu telah mengesahkan bahawa anak perempuan Ri merupakan pelajar di sana. Chong berkata dia dan RI bertemu pada 2013 ketika warga Korea Utara itu datang ke Kuala Lumpur dan memaklumkan dia ada kaitan dengan pencipta ekstrak cendawan yang mampu merawat kanser. Kata Chong, dia berkunjung ke Korea Utara sebanyak 10 kali dan amat mengagumi budaya negara itu. "Ri seorang yang lemah lembut, berbudi bahasa dan merendah diri, sama seperti orang Korea Utara yang lain," katanya. Ri jarang bertemu dengan Chong. Jika bertemu dia akan ditemani anak perempuannya ke pejabat Chong di Kuala Lumpur. Lelaki itu membincangkan peluang perniagaan seperti pengimportan minyak kelapa sawit dengan anak perempuan Ri bertindak sebagai penterjemah dari bahasa Korea ke bahasa Inggeris. Namun, Chong berkata tiada apa-apa yang berlaku menerusi perbincangan itu. Kedua-duanya bertemu kali terakhir pada Januari lalu. Malaysia merupakan satu-satunya negara asing yang boleh dimasuki warga Korea Utara secara mudah susulan pengenalan dasar bebas visa untuk pelawat dari negara itu. Sejak 1980, Korea Utara menggunakan negara Asia Tenggara sebagai hab untuk menggalakkan kepentingan strategik dan perniagaannya. Namun hubungan kedua-dua negara itu tegang susulan pembunuhan Jong-nam. Kim maut diserang dua wanita dengan semburan cecair beracun pada Isnin lalu di klia2. Kedua-dua wanita yang menyerangnya iaitu masing-masing seorang warga Indonesia dan seorang pemegang pasport Vietnam masih lagi ditahan polis. Polis berkata mereka sedang mengesan empat lagi warga Korea Utara yang melarikan diri dari negara ini pada hari kejadian Jong-nam dibunuh. Pegawai kerajaan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) percaya Jong-nam dibunuh ejen perisik dari Korea Utara.