suria

Kapal Food Flotilla For Myanmar Selamat Pulang Selepas 20 Hari

PELABUHAN KLANG: Selepas 20 hari menempuh pelbagai rintangan sebelum mencapai matlamat membantu pelarian etnik Rohingya, kapal misi bantuan kemanusiaan Food Flotilla For Myanmar selamat tiba di tanah air.

Kapal Nautical Aliya yang membawa kira-kira 230 sukarelawan diketuai Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim selamat berlabuh di Pelabuhan Klang pada kira-kira pukul 10 pagi, Khamis.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang hadir bagi menyambut kepulangan sukarelawan berkata, misi bantuan kemanusiaan itu membuktikan rakyat Malaysia sentiasa prihatin dengan perkembangan semasa dengan menzahirkan pendirian dan pandangan dalam isu keamanan.

"Dalam kita hendak berdepan dengan kekerasan, keganasan dan konflik yang berlaku, cara terbaik adalah bertindak balas dengan menunjukkan nilai kemanusiaan yang lebih tinggi. 

"Ia adalah lebih baik daripada mengambil tindakan ganas, keras dan emosional, serta jauh sekali untuk mengangkat senjata," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Hishammuddin turut memberitahu bahawa misi itu membuktikan Malaysia mampu membawa 'voice of reason' dalam menyanjung nilai kemanusiaan.

Beliau berkata, misi tersebut turut menunjukkan bahawa perjuangan demi nilai kemanusiaan tiada batasan dan menepiskan segala persepsi negatif terutama gambaran dunia terhadap Islam.

"Berdasarkan perkembangan politik dunia hari ini, kedudukan Islam dan apa yang dilontarkan kepada imej umat Islam sendiri, penting untuk kita buktikan bahawa IS, Daesh dan keganasan serta penindasan itu bukan amalan Islam.

"Wajah sebenar Islam adalah jauh daripada apa yang digembar-gemburkan oleh dunia," kata Hishammuddin.

Kapal Nautical Aliya yang bertolak ke Myanmar pada 3 Februari lalu membawa 2,200 tan bekalan makanan, ubat-ubatan serta pakaian merentasi Laut Andaman dalam misi kemanusiaan itu ke Myanmar dan Bangladesh.

Majlis menyambut kepulangan sukarelawan negara turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong.




Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan