KUALA LUMPUR: Honda Malaysia Sdn Bhd bekerjasama dengan Petronas Dagangan Bhd (PDB) bagi memberi kemudahan kepada pelanggannya untuk menggantikan pengembung beg udara hadapan Takata. Dalam satu kenyataan pada Khamis, Honda Malaysia berkata, pemilik pengembung beg udara yang terjejas boleh menggantinya di stesen Petronas terpilih. Menurut syarikat itu, aktiviti penggantian itu juga boleh dilakukan di Hab Mudah Alih di pusat membeli-belah dan di semua 84 pusat servis Honda yang sah. "Pelanggan yang terlibat digalakkan membuat temu janji di mana-mana pusat servis Honda yang sah atau di stesen Petronas yang terpilih bagi mengelakkan sebarang kelewatan atau halangan," kata syarikat itu. Honda Malaysia berkata aktiviti penggantian di cawangan Hab Mudah Alih di pusat membeli-belah dan di acara luar di seluruh negara, Siri Kembara Keluarga Honda, tidak perlu membuat temu janji terlebih dahulu. "Honda Malaysia juga sedang bekerja sama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi menghubungi pemilik kereta Honda yang terjejas dengan masalah pengembung beg udara Takata," kata syarikat itu. - BERNAMA