PELABUHAN KLANG: Susulan kejayaan misi kemanusiaan Food Flotilla For Myanmar, Malaysia akan menghantar sebanyak 10,000 tandas mudah alih dan 1,000 telaga tiub bagi membantu pelarian etnik Rohingya Myanmar menjelang Ramadan ini. Presiden Kelab Putera 1Malaysia yang mengetuai misi berkenaan, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, misi yang dikenali sebagai H20 itu dijangka dilancarkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein pada Mac ini. Beliau memberitahu, dua bantuan itu sebagai kemudahan tandas dan bekalan air kepada ribuan etnik Rohingnya di kem-kem pelarian. "Kita merancang untuk menghantar 10,000 tandas mudah alih dan 1,000 telaga tiub yang merupakan keperluan Rohingya di kem-kem pelarian di sana. "Bagi bantuan kali ini kita akan gerakkan semua parti komponen dari segi sumbangan termasuk semua 222 Ahli Parlimen tanpa mengira ideologi dan fahaman politik," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis menyambut kepulangan sukarelawan negara dalam misi Food Flotilla for Myanmar di sini, Khamis. Majlis disempurnakan Hishammuddin dan turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mah Siew Keong. Mengenai urusan untuk bantuan kedua itu, Abdul Azeez berkata, antara lain pihaknya akan mendapat kerjasama Pertubuhan Antarabangsa bagi Migran (IOM). "Butiran lanjut mengenai bantuan susulan ini akan diperjelaskan Datuk Seri Hishammuddin pada sidang Dewan Rakyat yang bermula Mac ini," katanya. Terdahulu, kapal Nautical Aliya yang membawa kira-kira 230 sukarelawan selamat berlabuh di Pelabuhan Klang pada kira-kira 10 pukul pagi, Khamis. Kapal yang bertolak ke Myanmar pada 3 Februari lalu membawa 2,200 tan bekalan makanan, ubat-ubatan serta pakaian merentasi Laut Andaman dalam misi kemanusiaan ke Myanmar dan Bangladesh.