suria

Proton: Pakar Permotoran Jawab Kebimbangan Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad
KUALA LUMPUR: Proton harus mara sebagai satu jenama dan mempunyai rakan kongsi adalah yang terbaik untuk pengeluar kereta itu, demikian menurut seorang pakar permotoran.

Dalam artikel yang diterbitkan menerusi careta.my, Hezeri Samsuri berkata dengan cara itu, ekosistem automotif akan lebih besar dan rakyat Malaysia boleh menikmati faedahnya.

"Proton mungkin tidak segah yang harapkan namun disebabkan Proton, kita telah mewujudkan sesuatu yang lebih besar. Ekosistem automotif jauh lebih besar berbanding Proton dan menawarkan lebih banyak peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia," katanya.

Artikel itu sebagai respons kepada pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya yang antara lain mengeluh mengenai 'Proton yang akan dijual kepada syarikat asing'.

Dr Mahathir berpandangan 'apabila Proton dijual kepada syarikat asing, ia tidak lagi menjadi kereta nasional', dan 'hanya akan mengeluarkan kereta asing di Malaysia'.

Hezeri berhujah sekalipun ada rakan kongsi dengan penguasaan kepentingan yang agak besar dalam Proton, beliau tidak percaya perkara itu akan menjadi perkara paling buruk.

Beliau menjelaskan bukan mudah untuk mendapatkan Rakan Strategik Asing atau FSP dan tidak ada sesiapapun yang mahu melepaskan sesuatu yang telah mereka bangunkan secara percuma.

"Anda perlukan 'umpan' dan dalam situasi semasa Proton, saya percaya keadaannya amat buruk sehingga memerlukan kita menawarkan 'umpan besar'," katanya.

Hezeri juga menimbulkan persoalan tentang beberapa inisiatif berkaitan Proton seperti projek Kenderaan Elektrik dan Proton Emas serta Lotus.

Katanya Dr Mahathir sepatutnya lebih proaktif dalam membantu Proton pada era kehebatannya seperti yang dilakukan oleh kerajaan Korea Selatan apabila Hyundai dan Kia mahu menembusi pasaran Amerika.

Beliau mendakwa apa yang berlaku kepada Proton pada masa itu adalah sebaliknya dengan acara-acara peringkat nasional menggunakan Proton sebagai penaja wang tunai kerana itulah cara termudah mendapatkan wang.

"Pada masa ini, adalah tidak bijak untuk terus melindungi Proton. Respons yang anda terima daripada rakyat Malaysia, amnya, mungkin tidak bagus jika kita terus berbuat demikian," katanya.

Tulisan Hezeri mengenai permotoran disiarkan oleh beberapa akhbar tempatan selain turut mengendalikan program televisyen mengenai bidang itu.
Tun M, Proton, Hezeri Samsuri

Artikel Lain