PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia akan membincangkan isu kuota haji dengan Arab Saudi menjelang lawatan empat hari Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke negara ini mulai Ahad ini. Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Raja Salman mengenai perkara itu akan diadakan pada Isnin ini disusuli mesyuarat delegasi kedua-dua negara. "Salah satu perkara yang akan dibincangkan antara Raja Salman semasa lawatannya ke Malaysia adalah berkaitan kuota haji," katanya pada sidang media di Wisma Putra dekat sini, Jumaat. Selain isu kuota haji, Anifah berkata, perdana menteri akan turut membincangkan mengenai kerjasama yang sudah terjalin antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi. "Kita juga akan menerokai ruang berpotensi bagi kedua-dua negara pada masa depan," katanya. Menurut Anifah, Arab Saudi merupakan rakan perdagangan kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah. "Perdagangan antara kedua-dua negara menunjukkan peningkatan sebanyak 19.8 peratus pada 2016 berbanding tahun lalu dan kini berjumlah RM13.12 bilion," katanya. Beliau berkata, kira-kira 60 peratus jumlah eksport Malaysia ke Arab Saudi melibatkan produk pertanian berasaskan minyak sawit, mesin, peralatan dan alat ganti, makanan proses dan elektronik. "Kita turut menjangkakan kerjasama erat dengan Arab Saudi dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga, pendidikan tinggi dan latihan," katanya. Raja Salman yang juga penjaga dua kota suci akan mengadakan lawatan kerja pertama ke Malaysia sejak menaiki takhta menggantikan Raja Abdullah Abdul Aziz pada 23 Januari 2015. Lawatan itu diadakan atas jemputan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V.Majlis menyambut ketibaan Raja Salman akan diraikan di Parlimen pada Ahad ini.Kali terakhir lawatan Raja Arab Saudi ke Malaysia adalah lebih 10 tahun lalu oleh Raja Abdullah bermula dari 30 Januari hingga 1 Februari 2006. Malah, Allahyarham Raja Faisal Abdulaziz Al-Saud juga pernah mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada 7 hingga 10 Jun 1970.Selain itu, Anifah berkata Raja Salman akan menerima anugerah Ijazah Kehormat Akademik dari Universiti Malaysia (UM) pada 27 Februari ini. Sehari kemudian, beliau bakal dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik (Islam dan Wasatiyyah) dan Anugerah Pencapaian Cemerlang Sepanjang Hayat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sempena Majlis Konvokesyen. Mengikut portal rasmi UIAM, majlis penganugerahan ijazah kehormat berkenaan akan disempurnakan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang juga Ketua Perlembagaan universiti itu.