suria

Korea Utara Perlu Hargai Hubungan Diplomatik Dengan Malaysia - Khairy

KOTA KINABALU: Korea Utara perlu menghargai hubungannya dengan Malaysia dengan menghormati undang-undang dan kedaulatan negara ini, kata Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin pada Jumaat.

Beliau menyifatkan tindakan negara itu yang mempertikaikan siasatan pihak berkuasa Malaysia dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam sebagai "melampaui batasan diplomasi yang boleh dikatakan pendirian yang sangat tidak sopan dan biadab terhadap kita."

"Malaysia tidak pernah meminta untuk campur tangan dalam siasatan polis negara lain atau menghalang satu autopsi dibuat apabila berlaku jenayah di negara lain, walaupun melibatkan warganegara kita.

"Saya berharap kerajaan akan memantau dengan teliti keadaan tersebut dan sekiranya perlu, kita akan semak semula kedudukan diplomatik Malaysia dengan Korea Utara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Transformasi Nasional (TN50), Jumaat.

Pada 13 Februari lepas, Jong-nam yang merupakan abang pemimpin Korea Utara KimJong-un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita didakwa menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Jong-nam, yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. -Bernama

Khairy Jamaluddin, Korea Utara

Artikel Berikut

Artikel Lain