PUTRAJAYA: Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan perbincangan petang ini di pusat pentadbiran persekutuan di sini. Raja Arab Saudi itu tiba di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri, tempat mesyuarat diadakan, pada pukul 2.20 petang. Mereka mengadakan pertemuan empat mata terlebih dahulu sebelum hadir mesyuarat delegasi kedua-dua negara. Baginda dan Najib akan menyaksikan penandatanganan beberapa memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang seperti sains dan pendidikan, ekonomi, pekerja dan sumber manusia serta pertukaran berita. Raja Salman tiba pada Ahad untuk lawatan negara selama empat hari atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V. - BERNAMA