KUALA LUMPUR: Satu delegasi tertinggi dari Korea Utara tiba di Malaysia untuk membincangkan beberapa isu dengan pegawai kerajaan di negara ini termasuk penghantaran pulang mayat salah seorang rakyatnya. Jurucakap delegasi itu iaitu bekas duta Korea Utara ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ri Tong-il berkata agenda utama perbincangan tersebut adalah berkaitan penghantaran pulang mayat rakyatnya yang maut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada 13 Februari lalu. "Kami juga akan membincangkan mengenai pembebasan seorang rakyat kami yang ditahan polis Malaysia berkaitan insiden itu. "Perkembangan terkini mengenai hubungan antara Korea Utara dan Malaysia juga akan dibincangkan," katanya yang membacakan satu kenyataan di luar Kedutaan Korea Utara di sini Selasa. Ketika ditanya pemberita sama ada setiausaha kedua kedutaan itu telah diambil keterangan oleh polis Malaysia, Ri enggan menjawab pertanyaan itu dan berlalu pergi. Malah Tong-il turut enggan memberitahu tarikh pertemuan dengan pihak berkuasa Malaysia akan diadakan atau berapa lama beliau berada di negara ini. Setakat ini, tidak diketahui sama ada Tong Il datang bersendirian atau bersama-sama satu delegasi. Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 8 pagi 13 Februari lepas untuk menaiki penerbangan ke Macau sejam kemudian apabila dua wanita tiba-tiba muncul dan menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang mengandungi apa yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX. Jong-nam kemudian mendapatkan pertolongan di kaunter khidmat pelanggan lapangan terbang itu dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi meninggal dunia ketika dalam perjalanan. Dia ke Malaysia pada 6 Februari lepas menggunakan pasport tertera nama Kim Chol. Dua wanita - seorang yang menggunakan pasport Indonesia dan seorang lagi menggunakan dokumen perjalanan Vietnam - ditangkap selepas pembunuhan itu. Seorang lelaki Malaysia dan seorang lelaki Korea Utara, Ri Jong Chol, juga ditahan. Rakyat Malaysia itu kemudian dibebaskan dengan ikat jamin. Kedutaan Korea Utara di sini turut menjadi tumpuan media berikutan pembunuhan itu.