suria

Mufti Perlu Bersatu, Tingkat Syiar Islam - Raja Salman

Raja Salman bertitah ketika mengadakan pertemuan bersama mufti-mufti pada Selasa. Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kanan). fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud pada Selasa berpesan kepada para mufti di negara ini supaya sentiasa bersatu dan berusaha untuk meningkatkan syiar Islam.

Ini antara amanat yang disampaikan baginda kepada 14 mufti negeri-negeri pada pertemuan ringkas di sebuah hotel di ibu negara, Selasa.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata baginda yang berinteraksi dalam bahasa Arab pada pertemuan hampir lima belas minit itu turut menekankan kepentingan untuk para mufti memainkan peranan dalam membantu umat Islam di negara ini.

"Pertemuan ini sebagai (tanda) muhibbah dan memberi kesan yang amat besar kepada para mufti serta bersejarah dalam hubungan Malaysia dan Arab Saudi.

"Kami berasa teruja dan seronok dapat bertemu dengan Raja Salman yang juga mahukan kita sentiasa bersatu padu, sentiasa menjaga hubungan sesama kita dan memainkan peranan meningkatkan syiar Islam," kata Zulkifli kepada pemberita sejurus selepas pertemuan itu.

Zulkifli berkata Penjaga Dua Kota Suci itu turut melahirkan rasa terima kasih di atas layanan kerajaan Malaysia kepada baginda dan delegasi kerajaan Arab Saudi yang mengikuti lawatan ini.

Raja Salman melakukan lawatan negara empat hari ke Malaysia sejak Ahad atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Ini adalah kunjungan julung kali Raja Salman ke Malaysia selepas ditabal sebagai Raja Arab Saudi pada 23 Januari 2015.

Upacara menghadap Raja Salman itu turut dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Zulkifli yang mewakili semua mufti berkata, pada majlis itu beliau turut menyampaikan ucapan ringkas dalam Bahasa Arab yang antara lain merakamkan penghargaan dan rasa terhutang budi atas sumbangan serta peranan Raja Salman dan kerajaan Arab Saudi terutama membabitkan pengurusan jemaah Malaysia semasa menunaikan ibadah haji dan umrah.

"Dari sudut agama, saya melihat hubungan ini adalah ukhuwah Islamiah yang perlu dipertahankan kerana kita rakyat Malaysia juga begitu dekat dengan Mekah dan Madinah terutamanya pada musim haji dan rakyat Malaysia sentiasa begitu bersemangat untuk melaksanakan ibadat haji.

"Dan kita mengharapkan daripada kerajaan Arab Saudi untuk menambah kuota jemaah haji Malaysia.

"InsyaAllah dengan sikap yang ditunjukkan oleh Raja Salman, saya yakin kita akan dikurniakan dengan kebaikan-kebaikan," kata Zulkifli.

Dalam pada itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyifatkan pertemuan ringkas itu sangat menarik dalam konteks membenihkan semangat perjuangan demi kekuatan ummah dan agama Islam secara keseluruhannya. - BERNAMA

mufti, syiar Islam, Raja Salman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain