suria

Pecah Amanah RM47.6 Juta: Dua Bekas Pegawai Kanan Felda Didakwa

Datuk Faizoull Ahmad (kanan) diiringi anggota SPRM.

PETALING JAYA: Dua bekas pegawai kanan Felda, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas pertuduhan pecah amanah dan bersubahat melibatkan wang berjumlah RM47.6 juta tiga tahun lalu.

Bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad didakwa atas pertuduhan bersubahat manakala Timbalan Pengarah Besar (Pengurusan Sumber Strategik Felda), Muhammad Sufi Mahbub menghadapi dua pertuduhan pecah amanah.

Kedua-dua tertuduh pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 24 Januari lalu.

Mereka berdua mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama terhadap Muhammad Sufi, tertuduh ketika bergelar Timbalan Pengarah Besar Sumber Strategik Felda didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap dana Felda dan meluluskan pembayaran berjumlah RM25,999,000 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah atau Jawatankuasa Tender Felda.

Kesalahan tersebut dilakukan antara 13 Januari hingga 23 Januari 2014 di Bangunan Wisma Lembaga Tanah Persekutuan, Jalan Perumahan Gurney, Kuala Lumpur.

Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh sebagai Timbalan Pengarah Besar Sumber Strategik Felda didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap dana Felda dan meluluskan pembayaran berjumlah RM21,625,500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah atau Jawatankuasa Tender Felda.

Muhammad Sufi Mahbub (tengah).

Kesalahan tersebut dilakukan antara 31 Mac hingga 23 Julai 2014 di Bangunan Wisma Lembaga Tanah Persekutuan, Jalan Perumahan Gurney, Kuala Lumpur.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun atau maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Faizoull pula dituduh bersubahat dengan Muhammad Sufi atas kedua-dua pertuduhan sama.

Dakwaan ke atas Faizoull dibuat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenar Faizoull dan Muhammad Sufi diikat jamin sebanyak RM 1 juta dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kedua-dua tertuduh juga dibenarkan membayar wang jaminan sebanyak RM500,000 pada hari ini dan selebihnya sebelum 22 Mac 2017.

Hakim menetapkan 27 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Bagi pihak SPRM, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Ahmad Akram Gharib.

Felda

Artikel Lain