suria

Kedutaan Indonesia Hormati Sistem Perundangan Malaysia

TIMBALAN Duta Besar Indonesia ke Malaysia Andreano Erwin turut hadir bagi mengikuti pendakwaan dua wanita asing yang didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh Kim Chol, seorang warga Korea Utara, Kim Jong-nam, di Kompleks Mahkamah Sepang pada 1 Mac 2017. - BERNAMA

SEPANG: Kedutaan Indonesia menghormati sistem perundangan Malaysia dalam pengendalian kes pembunuhan warga Korea Utara dengan melantik pasukan peguam untuk mewakili rakyat republik itu yang merupakan seorang daripada tertuduh. 

Timbalan Duta Indonesia di Malaysia Andreano Erwin yang menghadiri prosiding melibatkan Siti Aisyah, seorang daripada dua tertuduh dalam kes pembunuhan Kim Chol di Mahkamah Majistret Sepang di sini hari ini, berkata beliau sempat memberitahu Siti Aisyah bahawa dia tidak keseorangan dalam menghadapi kes berkenaan.

"Seluruh rakyat Indonesia akan selalu bersama dia dan untuk menghormati hukum setempat, lima pengacara (peguam) sudah dilantik untuk mewakilinya," katanya yang ditemui media selepas prosiding itu.

Andreano berkata beliau juga sempat menasihatkan Siti Aisyah untuk menjaga kesihatannya kerana kes tersebut dijangka mengambil masa yang lama.

Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 29, bersama-sama empat orang lagi yang masih bebas, didakwa membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lepas.

Pihak berkuasa telah mengesahkan pembawa pasport yang tertera dengan nama Kim Chol adalah Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Ditanya sama ada Siti Aisyah meminta bantuan kedutaan untuk berjumpa dengan keluarganya, Andreano berkata wanita itu tidak membuat permintaan sedemikian kerana tidak mahu keluarganya sedih melihat keadaannya. - BERNAMA

Artikel Lain