KOTA KINABALU: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) lima lagi mangsa tragedi bot pelancong yang karam serta hilang di perairan Sabah, belum menemukan petunjuk baharu dalam operasi yang masuk hari ke-34, pada Khamis. Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata sektor pencarian masih meliputi perairan Sabah, Miri (Sarawak) dan Brunei. "Operasi pencarian melibatkan lapan aset iaitu tiga milik APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (satu), Pasukan Polis Marin (tiga) dan satu aset milik agensi keselamatan Brunei," katanya dalam kenyataan, Khamis. Dalam tragedi 28 Januari lepas, bot pelancong jenis katamaran membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum. Setakat ini, 26 mangsa sudah dijumpai termasuk empat yang maut. -- Bernama