LANGKAWI: Senario sebuah pesawat terhempas yang ditampilkan pada pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2017 (Lima'17) disimulasikan dalam satu latihan mencari dan menyelamat (Sarex) yang diadakan di sini, Rabu. Latihan menyelamat di darat, yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA), merupakan lanjutan kepada latihan menyelamat di laut yang diadakan semalam. Ia melibatkan 600 peserta dari 30 agensi kerajaan dan swasta, kata Pengurus LIA Jefry Ramli di sini. Beliau berkata senario kali ini melibatkan simulasi sebuah pesawat mengalami kerosakan lalu terhempas di kawasan pameran statik di lapangan terbang itu. "Melalui latihan Sarex, kami dapat menilai tahap kesiapsiagaan setiap agensi dalam menghadapi sebarang kecemasan semasa berlangsungnya Lima'17 nanti," katanya. Lima'17 akan berlangsung dari 21 hingga 25 Mac ini dan disasarkan untuk menarik kira-kira 140,000 orang pelawat awam dan 40,000 orang pelawat perdagangan. Sementara itu, latihan menyelamat di laut yang dijalankan berdekatan Pulau Singa Besar dan Pulau Dayang Bunting melibatkan penggunaan dua helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi TUDM Brig-Jen Datuk Zahani Zainal Abidin berkata kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Kinabalu, juga digunakan. "Latihan ini menguji pelaksanaan prosedur operasi standard sedia ada bagi menyelamat di laut serta melihat ruang yang perlu diperbaiki untuk meningkatkan keberkesanannnya," katanya.