KUALA LUMPUR: Duta Korea Utara Kang Chol diistiharkan sebagai persona non grata dan telah diminta untuk meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam. Kang Chol telah dipanggil ke Wisma Putra untuk satu pertemuan bersama dengan pegawai kementerian tersebut di Putrajaya pada pukul 6 petang Sabtu tetapi beliau gagal hadir. Kementerian Luar telah menghantar nota diplomatik kepada kedutaan itu di Jalan Datai, Bukit Damansara untuk memaklumkan perkara tersebut. Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata perlu dijelaskan bahawa Malaysia akan bertindak tegas terhadap sebarang penghinaan yang dibuat ke atas negara ini atau sebarang cubaan untuk mencemarkan nama baiknya. "Perlu diingat duta berkenaan telah mendakwa bahawa cara siasatan kematian seorang warga Korea Utara pada 13 Februari 2017 membayangkan bahawa kerajaan Malaysia mempunyai sesuatu untuk disembunyikan dan Malaysia bersekongkol dengan kuasa luar untuk memfitnah negaranya," kata Anifah dalam satu kenyataan pada Sabtu. Beliau merujuk kepada pembunuhan Kim Chol, yang dilaporkan dengan meluas sebagai Kim Jong-nam, abang pemimpin utama Korea Utara Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2), dalam kes yang mendapat tumpuan antarabangsa. Anifah menegaskan beberapa peristiwa yang berlaku baru-baru ini, termasuk pembebasan seorang warga Korea Utara Ri Jong-chol daripada tahanan polis berikutan kekurangan bukti untuk mendakwanya, adalah bukti bahawa siasatan itu dijalankan secara saksama, adil dan telus, bersesuaian dengan sebuah negara yang mengamalkan kedaulatan undang-undang. Pengusiran duta itu susulan keputusan kerajaan Malaysia, yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa berkuat kuasa 6 Mac, warga Korea Utara dikehendaki memohon visa untuk memasuki Malaysia. "Ini menunjukkan kebimbangan kerajaan bahawa Malaysia mungkin digunakan untuk aktiviti yang menyalahi undang-undang. Langkah ini adalah sebahagian daripada proses oleh kerajaan Malaysia untuk menilai semula hubungannya dengan Korea Utara," kata Anifah. Anifah berkata pada 5 petang Selasa (28 Februari), para pegawai Kementerian Luar diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Raja Nushirwan Zainal Abidin bertemu dengan delegasi peringkat tertinggi Korea Utara diketuai Kim Song. Beliau berkata pada mesyuarat itu, kerajaan Malaysia telah menuntut supaya kerajaan Korea Utara mengemukakan perrmohonan maaf secara bertulis bagi dakwaan-dakwaan yang dilontarkan oleh Duta Besar itu terhadap Malaysia. Delegasi itu juga dimaklumkan bahawa andainya jawapan tidak diterima selewat-lewatnya pukul 10 malam hari yang sama, maka kerajaan Malaysia akan mengambil langkah-langkah terbaik untuk mempertahankan kepentingannya. "Hampir empat hari telah berlalu selepas tamatnya tempoh tersebut. Permohonan maaf masih belum diterima. Kerajaan Korea Utara juga tidak memberi isyarat yang mereka akan memohon maaf. Oleh yang demikian, Duta Besar Korea Utara telah diisytiharkan Persona Non Grata," kata Anifah. Raja Nushirwan adalah pegawai kementerian yang sepatutnya ditemui Kang Chol di Kementerian Luar pada 6 petang ini, berdasarkan arahan daripada Anifah. Menurut kenyataan itu Persona Non Grata diterjemah secara kasar bermaksud 'Orang Yang Tidak Dihargai', dan seseorang yang telah diisytiharkan sedemikian dilarang masuk atau terus berada di sesebuah negara. Anifah berkata: "Ia merupakan bentuk kecaman yang paling serius yang boleh dikenakan ke atas seseorang diplomat asing. Ia juga seringkali digunakan untuk memberi isyarat tidak senang hati terhadap tingkahlaku atau dasar negara penghantar. "Mengikut Artikel 9 Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik (1961), menteri luar berkata negara penerima boleh, pada bila-bila masa dan tanpa memberi sebarang alasan, mengisytiharkan duta besar atau ketua perwakilan atau pegawai diplomatik sebagai Persona Non Grata. "Dalam hal sedemikian, negara penghantar akan memanggil pulang individu berkenaan ataupun menamatkan fungsi beliau di kedutaan atau perwakilan. "Jika negara penghantar tidak mahu berbuat demikian, maka negara penerima boleh menamatkan pengiktirafan terhadap individu tersebut sebagai ahli kedutaan atau perwakilan," katanya. Jong-nam berada di klia2 pada 13 Februari lalu untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita tiba-tiba muncul dan didakwa menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang dipercayai dilumur dengan bahan yang kemudian dikenali sebagai agen saraf VX. Beliau dikejarkan ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia semasa dalam perjalanan. Jong-nam dilaporkan menggunakan pasport atas nama Kim Chol semasa berada di Malaysia. Dua wanita, Siti Aisyah, 25, seorang warga Indonesia, dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pada Rabu atas dakwaan membunuh Kim Chol. - BERNAMA