suria

"Saya Tolak Tawaran Ketua Menteri Sabah"

KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menolak dakwaan Perdana Menteri mengenai tindakannya keluar Umno kerana tidak diberi jawatan Ketua Menteri Sabah.

Bekas Naib Presiden Umno itu berkata, beliau tidak pernah meminta jawatan ketua menteri dan meninggalkan parti itu kerana kecewa dengan kepimpinan parti itu.

"Saya tinggalkan Umno bukan kerana tidak ditawarkan jawatan ketua menteri, tetapi sebenarnya Najib ada menawarkan jawatan Ketua Menteri Sabah kepada saya untuk menggantikan Datuk Seri Musa Aman.

"Permintaan itu dibuat kerana ramai pemimpin Barisan Nasional terutama di kalangan Umno Sabah mahukan perubahan. Bagaimanapun saya tidak terima tawaran itu," katanya ketika berucap di Silam, Lahad Datu pada Sabtu.

Pada Jumaat, Datuk Seri Najib Tun Razak tanpa merujuk kepada Shafie berkata, ada bekas menteri Pusat yang keluar parti kerana tidak dilantik sebagai ketua menteri.

Beliau berkata, menteri berkenaan minta untuk menjadi Ketua Menteri Sabah dan tidak berpuas hati apabila permintaannya tidak dipenuhi.

Shafie yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata, dia digantung daripada Umno kerana mengkritik 1MDB dan kini menerajui Parti Warisan Sabah.

"Saya keluar Umno kerana sudah putus asa," katanya.

Shafie berkata, dia tidak pernah berhasrat untuk menjadi ketua menteri sebab itu tidak pernah meminta untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri, sebaliknya kekal di Parlimen Semporna sejak 1995.

Artikel Lain