KUALA LUMPUR: Kira-kira 15 jam selepas nota diplomatik dikeluarkan yang mengisytiharkan Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol sebagai 'Persona Non Grata', kelibat beliau masih belum kelihatan. Setakat pukul 12.30 tengah hari Ahad, tiada pergerakan utama di kedutaan Korea Utara dekat Jalan Batai di sini yang menunjukkan Kang akan meninggalkan negara kerana beliau diarahkan untuk berbuat demikian pada 6 Mac ini. Kaunselor kedutaan, Kim Yu-song keluar mengambil surat khabar The Star yang dihantar di pintu pagar tetapi tidak bercakap dengan pihak media. Beberapa individu termasuk seorang wanita dilihat keluar masuk perkarangan kedutaan tetapi tidak menghentikan kenderaannya ketika diserbu media. Ketika ketegangan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara semakin memuncak, jumlah kehadiran pengamal media yang berkumpul di luar kedutaan semakin bertambah untuk memantau setiap pergerakan Kang Chol. Pada Sabtu, kerajaan Malaysia mengisytiharkan Kang Chol sebagai 'Persona Non Grata' dan diberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan negara ini. Nota itu dihantar kerana Kang Chol terus mengkritik kerajaan Malaysia berhubung siasatan kes kematian abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam. Pengusiran duta itu turut dibuat susulan keputusan kerajaan Malaysia, yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa berkuat kuasa 6 Mac, warga Korea Utara dikehendaki memohon visa untuk memasuki Malaysia. Jong-nam berada di klia2 pada 13 Februari lalu untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita tiba-tiba muncul dan didakwa menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang dipercayai dilumur dengan bahan yang kemudian dikenali sebagai agen saraf VX. Beliau dikejarkan ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia semasa dalam perjalanan. Jong-nam dilaporkan menggunakan pasport atas nama Kim Chol semasa berada di Malaysia. Dua wanita, Siti Aisyah, 25, seorang warga Indonesia, dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pada Rabu atas dakwaan membunuh Kim Chol.