suria

Lima Tinggalkan Kedutaan Korea Utara, Bawa Bagasi

KUALA LUMPUR: Lima individu termasuk wanita dan kanak-kanak dilihat meninggalkan bangunan Kedutaan Korea Utara di Bukit Damansara di sini, dengan membawa bersama bagasi pada pagi Isnin.

Mereka adalah dua wanita, dua kanak-kanak dan seorang lelaki muda yang juga bertindak sebagai pemandu.

Kelima-lima mereka meninggalkan bangunan kedutaan pada pukul 9.48 pagi menaiki kereta jenis Alphard berwarna putih.

Dipercayai mereka adalah ahli keluarga Ri Jong-chol suspek pembunuhan Kim Jong-nam dari Korea Utara yang diusir dari Malaysia, Jumaat lalu.

Ketika melepasi pagar bangunan, kereta tersebut dipandu agak laju sambil hon panjang dibunyikan kepada pihak media yang menunggu di luar sambil merakamkan pergerakan mereka.

Terdahulu, pada pukul 9.10 pagi kaunselor kedutaan Kim Su Yong telah meninggalkan bangunan kedutaan bersama pemandunya menaiki kereta Mercedes.

Setakat ini, terdapat empat kereta dapat dilihat di pekarangan bangunan iaitu jenis Peugeot,  Toyota Vellfire, Jaguar dan Audi dipercayai milik Duta Korea Utara ke Malaysia Kang Chol.

Kementerian Luar melalui Nota Diplomatik yang dihantar kepada Kedutaan Korea Utara pada Sabtu mengisytiharkan Kang Chol sebagai Persona Non Grata dan beliau dikehendaki meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya 48 jam bermula 6 petang hari yang sama.

Ini bermakna tempoh yang diberikan untuk Kang Chol meninggalkan Malaysia akan tamat pada 6 petang ini.

Pengusiran Kang Chol dibuat susulan kegagalan berjumpa dengan pihak Kementerian Luar dan keengganan mengemukakan permohonan maaf secara bertulis berikutan dakwaan negatif yang dibuatnya terhadap Malaysia sebelum ini berhubung siasatan polis terhadap pembunuhan Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.



Korea Utara, Ri Jong-chol, Kang Chol

Artikel Lain