PETALING JAYA: Bangunan Kedutaan Korea Utara di Jalan Batai telah dikawal rapi anggota polis dipercayai bagi melancarkan perjalanan duta negara itu, Kang Chol ke lapangan terbang. Pada pukul 2.20 petang Isnin, polis dilihat mengawal di luar pagar pejabat kedutaan negara itu. Hanya kurang empat jam dari sekarang, Kang Chol perlu keluar dari negara ini selepas diisytiharkan sebagai persona non grata pada Sabtu. Pada masa sama, beberapa bagasi juga kelihatan dimuatkan ke kenderaan pelbagai guna kelabu yang diparkir di kawasan pejabat itu. Beberapa individu dipercayai kakitangan kedutaan itu telah mengangkat bagasi ke kereta Toyota Alphard itu. Sebuah kereta polis dan beberapa pegawai bermotosikal juga tiba di situ dan menunggu di luar bangunan berkenaan. Tempoh untuk Kang Chol keluar dari negara ini tamat pada pukul 6 petang Isnin.