suria

Wanita Punggah Barang Di Kedutaan Korea Utara Cetus Tanda Tanya

KUALA LUMPUR: Kelibat tiga wanita memunggah barang dari sebuah kereta di Kedutaan Korea Utara telah menimbulkan tanda tanya di kalangan wakil media yang masih 'berkampung' di luar pagar bangunan itu.

Ketika ahli keluarga pegawai kanan kedutaan itu dijangka meninggalkan negara ini ekoran ketegangan isu pembunuhan Kim Jong-nam, tiga wanita berkenaan dilihat mengeluarkan kotak, guni dan beg plastik dari sebuah kereta Alphard.

Kerja-kerja membawa masuk barang tersebut ke dalam bangunan dari kenderaan berkenaan memakan masa kira-kira 10 minit.

Kenderaan itu adalah kereta sama yang meninggalkan bangunan kedutaan pagi tadi bersama dua wanita dan dua kanak-kanak.

Terdahulu Kanselor Kedutaan Korea Utara, Kim Su Yong dilihat kembali ke bangunan ini selepas meninggalkannya  awal pagi Isnin.

Su Yong bersama pemandunya tiba pada pukul 12.30 tengah hari menaiki kereta Mercedes Benz yang dinaikinya pagi tadi.

Kembalinya Su Yong dan mereka yang lain bagaimanapun telah menimbulkan tanda tanya mengenai destinasi yang dituju selama kira-kira dua jam itu.

Persoalan yang timbul semakin memuncak apabila banyak barang dibawa masuk ke bangunan berkenaan.

Selain kotak, guni dengan tulisan 'gula', beg plastik dari pusat beli-belah dan sebuah besen hijau.

Kedutaan Korea Utara terus menjadi tumpuan pada Isnin apabila duta besarnya ke negara ini Kang Chol dijangka meninggalkan Malaysia petang Isnin.

Kementerian Luar melalui Nota Diplomatik yang dihantar kepada Kedutaan Korea Utara pada Sabtu mengisytiharkan Kang Chol sebagai Persona Non Grata dan beliau dikehendaki meninggalkan Malaysia selewat-lewatnya 48 jam bermula 6 petang hari yang sama.

Ini bermakna tempoh yang diberikan untuk Kang Chol meninggalkan Malaysia akan tamat pada 6 petang ini.

Bagaimanapun sehingga kini kelibat Kang Chol masih tidak kelihatan di kedutaan. 


Korea Utara, Kang Chol

Artikel Lain