PETALING JAYA: Kakitangan Kedutaan Malaysia di Korea Utara dilaporkan memusnahkan dokumen dan memunggah bagasi ke kenderaan sebaik Pyongyang mengarahkan Duta Mohamad Nizan Mohamad balik ke tanahair. Menurut laporan media China, prosedur darurat itu dilakukan sebaik Korea Utara mengumumkan keputusan itu pada kira-kira pukul 6 petang, Isnin. Berita ini disiarkan sebelum media rasmi, Korea Central News Agency melaporkan semua rakyat Malaysia dilarang meninggalkan Korea Utara, arahan yang memetik Kementerian Luar negara itu. CCTV 13 China melaporkan, Jalur Gemilang dan bendera Asean di pekarangan kedutaan Malaysia juga diletakkan separuh tiang pada Selasa pagi, manakala turut kelihatan tiga kenderaan meninggalkan premis itu. Pyongyang pada Isnin menuntut Mohamad Nizan yang telah kembali ke Malaysia pada 22 Februari lalu supaya meninggalkan negara itu dalam masa 48 jam bermula pukul 10 pagi, Ahad. Langkah itu diambil sebagai membalas tindakan Malaysia mengisytiharkan Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol sebagai persona non grata pada 4 Mac lalu dan turut memberi tempoh 48 jam untuk meninggalkan negara ini selepas gagal tampil di Wisma Putra pada hari berkenaan. Kang Chol meninggalkan Malaysia dengan menaiki penerbangan pada petang Isnin. Duta negara itu juga tidak berpuas hati dengan cara pihak berkuasa Malaysia mengendalikan siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin tertinggi negara itu. Jong-nam terbunuh apabila diserang dua wanita menggunakan senjata kimia, agen saraf VX semasa menunggu penerbangan ke Macau di KLIA2 pada 13 Februari lalu. Pada 1 Mac, rakyat Vietnam, Doan Thi Huong dan warga Indonesia Siti Aisyah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan keana membunuh dan boleh dikenakan hukuman mati.