suria

Kim Yu Song 'Bengang' Dihalang Keluar Dari Kedutaan Korea Utara

KUALA LUMPUR: Situasi sedikit tegang di Kedutaan Korea Utara di sini apabila kaunselor di pejabat itu, Kim Yu Song kelihatan bengang apabila dihalang keluar dari bangunan berkenaan.

Yu Song dilihat cuba meluru keluar dari pintu pagar yang disekat dua kenderaan polis dan garisan kuning, kurang sejam selepas seorang lelaki dan seorang wanita dihalang meninggalkan bangunan sama.

Beliau yang dipercayai mahu bertemu dengan pihak polis yang sedang berkawal di luar kedutaan bagaimanapun gagal menembusi kumpulan  wartawan dan jurugambar yang membuat liputan dan merakamkan pergerakannya.

Tidak berpuas hati kerana gagal 'menembusi' kumpulan media untuk ke luar pagar,  beliau berteriak "police come" beberapa kali ke arah sekumpulan polis yang sedang berkawal kita-kira 50 meter dari pintu pagar kedutaan.

Beliau kelihatan mundar-mandir sambil memegang telefon sebelum tujuh anggota polis datang kepadanya untuk berunding.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan butir-butir rundingan tersebut, malah beliau bersama seorang lagi lelaki terus masuk ke dalam bangunan.

Pada kira-kira pukul 1.30 petang, polis dilihat membuka sekatan di depan premis itu dan kira-kira 15 minit kemudian, sebuah kereta membawa seorang wanita keluar dari bangunan kedutaan itu.

Kawalan keselamatan di sekitar kedutaan telah dipertingkatkan pada Selasa selepas dutanya ke sini Kang Chol diusir dari Malaysia dan terbaharu, rakyat Malaysia disekat keluar dari Korea Utara.

Susulan itu juga, Malaysia memutuskan untuk menyekat rakyat Korea Utara keluar dari negara ini.

Korea Utara, Yu Song

Artikel Lain