SHAH ALAM: Seorang inspektor polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM15,500 daripada seorang wanita sebagai dorongan untuk mengurangkan lima pertuduhan teman lelakinya, tahun lepas. M. Krishnan, 33, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh. Bagi pertuduhan pertama, Krishnan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan didakwa meminta suapan wang tunai berjumlah RM8,500 daripada Lim Bee Sin, 21, sebagai dorongan mengurangkan lima pertuduhan membabitkan teman lelaki wanita itu, Koay Khoon You, 23, iaitu suspek di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Krishnan didakwa melakukan kesalahan itu di IPD Klang Selatan kira-kira pukul 8.30 malam pada 13 Januari 2016. Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. Bagi pertuduhan kedua, Krishnan didakwa memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM7,000 daripada Lim bagi tujuan sama di IPD Klang Selatan, kira-kira pukul 5.15 petang, 14 Januari 2016. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama. Jika sabit kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan, Krishnan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi. Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Hazirah Azeman memohon mahkamah mengenakan jaminan RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan. Bagaimanapun, peguam tertuduh, Datuk Geethan Ram Vincent memohon supaya mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu kerana terlalu tinggi malah anak guamnya memberikan kerjasama yang baik serta hadir di mahkamah untuk prosiding. Hakim Rozilah membenarkan Krishnan diikat jamin RM24,000 bagi kedua-dua kesalahan dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di IPD Klang Selatan setiap hujung bulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah. Beliau turut menetapkan sebutan semula kes pada 3 April.-- Bernama