suria

IPFN Kembali Jadi Tumpuan Pengamal Media

KUALA LUMPUR: Situasi di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur di sini kembali 'panas' dengan kehadiran media tempatan dan antarabangsa selepas perkembangan terbaru mengenai identiti sebenar mayat warga Korea Utara yang dibunuh 13 Februari lepas, disahkan pada Jumaat.

Tinjauan Bernama mendapati 40 pengamal media sudah mula berkumpul sejak 6 petang tadi dan rata-rata mereka adalah media Jepun dan Korea Selatan selain daripada media tempatan. 

Kehadiran pengamal media berkurangan sejak minggu lepas berikutan tiada perkembangan terbaru mengenai mayat lelaki itu yang masih belum lagi dituntut waris terdekat.

Namun pada Jumaat pekarangan IPFN menjadi perhatian pengamal media susulan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan warga Korea Utara Kim Chol yang dibunuh di negara ini sebenarnya adalah Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Khalid turut berkata polis akan menyerahkan mayat Jong-nam kepadaKementerian Kesihatan untuk urusan seterusnya kerana tidak ada waris yang menuntutnya setakat ini.

Jong-nam, dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Februari ketika menunggu penerbangan untuk ke Macau.

Beliau diserang dua wanita yang menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka mengandungi bahan yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam yang memasuki negara ini dengan menggunakan pasport tertera nama 'Kim Chol', meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Putrajaya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain