suria

Penjawat Awam Diarah Cari Penyelesaian Segera Projek Terlewat

MIRI: Penjawat awam yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan projek-projek kerajaan diarah mencari penyelesaian segera projek yang terlewat supaya dapat disiapkan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, kesemua projek yang dilaksanakan kerajaan sama ada menerusi rundingan terus atau tender terbuka di negara ini adalah untuk kepentingan rakyat dan tidak boleh tergendala pelaksanaannya. 

"Projek kritikal misalnya untuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan perlu diberi perhatian segera kerana rakyat amat memerlukan perkhidmatan dari dua kementerian tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Program Ziarah Kebajikan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Awam Malaysia (Puspanita) Hospital Miri, Sabtu.

Ali yang juga penasihat Puspanita berkata, sikap kontraktor memberi alasan tidak ada sumber kewangan dan kekurangan yang menjadi punca kelewatan projek kerajaan, patut ditangani segera oleh penjawat awam yang memantau pelaksanaan projek.

"Pelbagai alasan diberi oleh kontraktor, tidak pernah salahkan sendiri, Namun saya mahu projek dilaksanakan siap dengan mencari kaedah lain," katanya.

Beliau berkata penjawat awam boleh berhubung dengan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Seri Zainal Rahim Seman untuk berbincang mencari jalan penyelesaian bagi projek kerajaan yang bermasalah.

Mengenai lawatannya ke Hospital Miri, beliau mencadangkan Kementerian Kesihatan untuk mengkaji kaedah kerja yang dilaksanakan di hospital itu terutama memastikan doktor yang baharu bertugas tidak mengalami tekanan keterlaluan semasa bertugas. 

"Majoriti doktor baharu yang saya temui berasa gembira bertugas di Hospital Miri, mungkin ini boleh dijadikan model untuk hospital lain di seluruh negara bagi memastikan mereka dapat menangani tekanan," katanya.

Terdahulu Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dr Jamilah Hashim berkata, lebih 400 jawatan kosong bagi doktor perlu diisi dengan segera dan berharap dapat disegerakan pelantikannya.

Puspanita hari ini menyerahkan sumbangan kebajikan berjumlah RM50,000 kepada Hospital Miri, enam rumah kebajikan, empat penjawat Orang Kelainan Upaya dan 16 pesara kerajaan. -- Bernama

Ali Hamsa, Hospital Miri

Artikel Lain