suria

Bekas Pelajar Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Mrs Hew

Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Annuar Zaini memberi penghormatan terakhir hari ini kepada bekas guru bahasa Inggeris beliau mendiang Lee Siew San yang meninggal dunia. Watak Lee Siew San sering ditampilkan sebagai Mrs Hew oleh Datuk Mohd Nor Khalid (Datuk Lat) melalui kartun dan animasi kartunis beliau.

IPOH: Jasa seorang guru, Lee Siew San, 80, dalam mendidik anak muridnya sehingga mencapai kejayaan dalam hidup tidak akan dilupai oleh mereka sepanjang hayat.

Ini terbukti apabila ramai bekas murid yang hadir dari jauh dan dekat untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di sebuah gereja di sini hari ini sebelum mayatnya di bawa ke Pusat Pembakaran Mayat Kek Look Seah di Bercham.

Mendiang Lee atau dikenali sebagai 'Mrs Hew' dalam watak yang digunakan oleh bekas muridnya Datuk Lat atau Datuk Mohammad Nor Khalid, 65, menerusi kartun dan animasi kartunisnya, meninggal dunia semasa tidur pukul 1.30 pagi, Rabu lalu.

Bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata kehilangan 'Mrs Hew' amat terkesan baginya kerana mendiang seorang guru yang sangat dedikasi.

Annuar yang juga bekas murid mendiang berkata beliau mula mengenalinya ketika memasuki Sekolah Renda Jenis Kebangsaan (Inggeris) di Jalan Pasir Putih di sini pada 2 Januari 1962.

"Ketika itu, umur saya 11 tahun dan dia (mendiang) berumur 25 tahun.

Bayangkan seorang wanita berusia 25 tahun menggalas tanggungjawab mengajar 40 murid Melayu yang tidak tahu Bahasa Inggeris dan ketika itu saya hanya tahu 30 patah perkataan Bahasa Inggeris.

"Dia lah yang mengajar kami hingga boleh menguasai Bahasa Inggeris dan berjaya hingga hari ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun mendiang seorang guru berbangsa Cina tetapi beliau tidak mempunyai perasaan diskriminasi ketika mengajar murid Melayu sebaliknya bersungguh-sungguh mendidiknya hingga berjaya.

"Itu kehebatannya yang rakyat Malaysia perlu hargai...dia bersusah payah nak bagi kita pandai. Kasih sayangnya terhadap anak murid cukup tinggi sebab itu apabila dia meninggal dunia ramai murid Melayu datang menziarahinya.

"Walaupun dia seorang guru yang garang tetapi hatinya cukup baik dan mengambil berat tentang anak muridnya. Dia garang bukan sebab benci dan marah tetapi dia garang sebab mahu anak muridnya pandai," katanya.

Sementara itu, Lat berkata beliau terkejut dan sedih setelah menerima berita kematian mendiang yang juga dipanggil 'Cikgu Moira' daripada suaminya Hew Chai Kee, 87.

Beliau berkata banyak jasa yang dicurahkan oleh mendiang sehinggakan anak muridnya yang tinggal di kawasan kampung pandai bertutur, menulis dan membaca Bahasa Inggeris dalam tempoh dua tahun iaitu pada 1962 dan 1963.

"Mrs Hew sentiasa mendorong dan memberi kata-kata semangat kepada saya untuk melukis sehingga saya berjaya. Saya mula melukis watak beliau di dalam majalah bermula pada 1970 dengan menampilkan wataknya seorang guru yang garang walaupun dia seorang yang manis dan baik hati.

"Apabila dia dapat tahu wataknya masuk dalam majalah dia menelefon saya dan melahirkan rasa bangga dan gembira. Dia juga memberitahu orang lain bahawa watak Mrs Hew itu adalah beliau dan dilukis oleh anak muridnya," katanya.

Menurut Lat, hubungan beliau dengan keluarga mendiang lebih akrab apabila dia tinggal di Ipoh sejak 20 tahun lalu dan kali terakhir beliau berjumpa mendiang pada hujung tahun lepas di Stesen Keretapi Ipoh.

Mrs Hew yang meninggal dunia kerana sakit tua turut meninggalkan tiga orang anak iaitu Alvin Hew, 53, Cyril, 49 dan Belinda, 52.-- Bernama



Mrs Hew, Lat

Artikel Sebelum

Artikel Lain