MELAKA: Percy D’Cruz, wartawan veteran sambilan Biro The Star Melaka meninggal dunia. Mendiang dipercayai terkena renjatan elektrik di kediamannya di Banda Hilir, petang Khamis. Theresa Tan, 62, menjumpai mayat suaminya selepas pulang dari tempat kerja kira-kira pukul 6.30 petang. Difahamkan Tan menjumpai kesan terbakar di tubuh suaminya. Tan bagaimanapun enggan ditemubual kerana terkejut dengan pemergian suaminya. D’Cruz, 69, telah menghubungi pejabat kira-kira pukul 2.45 petang Khamis dan bercakap dengan penolong ketua jurugambar, A. Malex Yahaya bahawa anjung dan pagar rumahnya ditenggelami air kerana pembinaan longkang di hadapan rumah. "Dia minta bantuan saya untuk maklumkan kepada ketua biro agar isu itu dibangkitkan kepada pihak berkuasa tempatan. Saya maklumkannya saya akan berbuat demikian selepas pasukan editorial pulang daripada membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN). "Saya kemudiannya pergi membuat liputan sebuah majlis dan terkejut apabila dimaklumkan mengenai berita kematiannya," kata A. Malex. Pasukan forensik Melaka pergi ke rumah mangsa pada malam Khamis untuk melakukan pemeriksaan. "Kami sedang menunggu laporan bedah siasat," kata rakan keluarganya. D'Cruz menyertai The Star sebagai wartawan sambilan pada 1979 dan banyak membuat liputan acara sukan dan keagamaan untuk akhbar ini. Pada pertengahan 2016, dia memohon cuti sementara atas sebab komitmen kepada keluarga. Dia kembali bertugas pada bulan lalu dengan membuat liputan satu majlis di Perkampungan Portugis.