suria

Sah, Dua Maut Di Singapura Warga Malaysia

SINGAPURA: Dua penunggang motosikal yang terbunuh dalam kemalangan membabitkan sembilan motosikal dan sebuah van petang Sabtu adalah warga Malaysia.

Dalam kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Bukit Timah (BKE) itu, dua rakyat Malaysia berbangsa Cina berusia 34 dan 50 tahun maut di tempat kejadian.

Bagaimanapun, identiti mangsa masih belum diketahui.

Menurut sumber, enam lagi penunggang motosikal yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan juga adalah rakyat Malaysia dan mereka dihantar ke Hospital Khoo Teck Puat.

"Seorang lagi penunggang motosikal tidak mengalami kecederaan. Pemandu van yang berusia 25 tahun adalah warga Singapura," kata sumber.

Terdahulu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura masih menunggu perkembangan terkini daripada Pasukan Polis Singapura (SPF).

Dalam status terbaru di Facebook, SPF berkata pemandu van itu ditahan bagi membantu siasatan, dan menambah lesen memandu lelaki itu akan digantung  serta-merta.

Pada 3.49 petang, SPF berkata ia dimaklumkan mengenai kemalangan di BKE arah ke Woodlands selepas keluar Lebuhraya Seletar (SLE). - BERNAMA

Artikel Lain