suria

Tiga Lori Bertembung, Pemandu Terputus Dua

SHAH ALAM: Seorang pemandu kontena maut dengan badannya terputus dua apabila lorinya terbabit dalam kemalangan dengan dua buah lori lagi di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dekat sini pagi Isnin.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, separuh badan mangsa ditemukan di tempat duduk pemandu kontena itu manakala separuh lagi ditemukan di sebuah lori lain yang membawa muatan tong gas petroleum cecair (LPG).

Menurutnya lori ketiga pula membawa muatan cecair kimia jenis Toluene (UN1294).

"Pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mayat mangsa kerana lori mangsa terbakar dan turut berlaku kebocoran pada tangki yang bermuatan cecair kimia.

"Pasukan Hazmat kini menjalankan operasi bagi mengawal tumpahan bahan kimia berkenaan," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Jurucakap itu berkata dua lagi pemandu lori lain yang terlibat dalam kemalangan itu hanya mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk mendapatkan rawatan.

Kesemua lori terbabit sedang menuju ke Pulau Indah di Pelabuhan Klang, katanya.

Susulan kemalangan maut itu, trafik dilaporkan sesak teruk selama beberapa jam bagi membolehkan pasukan penyelamat melakukan operasi pembersihan.

Kemalangan Treler

Artikel Lain