suria

Kes Tragedi Bot Karam Dipindahkan Ke Mahkamah Pelancongan

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret di sini pada Isnin membenarkan kes pemilik sebuah bot pelancong jenis katamaran yang karam pada 28 Jan lalu dipindahkan ke Mahkamah Pelancongan.

Menurut laporan Bernama, Majistret Stephanie Sharron Abbie membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nartiah F Mirchelle Sambatan yang dibuat berdasarkan Seksyen 177 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu dalam permohonannya, Nartiah berkata tertuduh, Leong Vin Jee, 43, dijangka dikenakan beberapa pertuduhan lain berkaitan kes tersebut yang akan difailkan dalam minggu ini.

Tiada bantahan dibuat oleh Peguam Edward Paul yang mewakili Leong berhubung permohonan itu.

Pada 5 Februari lepas, Leong mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membawa penumpang melebihi had dibenarkan berdasarkan lesen bot miliknya dan dia didakwa mengikut Seksyen 282 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Leong dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Dalam tragedi 10 pagi 28 Januari lepas, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga anak kapal, karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan dari Jeti Tanjung Aru ke Pulau Mengalum.

Setakat ini, 26 mangsa sudah ditemukan termasuk empat yang maut dan operasi mengesan mangsa yang hilang masih diteruskan.

Katamaran, Bot Karam

Artikel Lain