JOHOR BAHRU: Satu sindiket yang mempunyai hubungan kukuh dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor dan 'orang dalam' telah mengenal pasti plot tanah terbiar milik warga asing di bandar ini sebelum 'menukar' status pemilikan dan menjualnya bagi mendapatkan untung besar. Sindiket itu, yang telah beroperasi dalam tempoh tertentu, setakat ini telah menjual beberapa plot tanah milik rakyat Singapura dan Indonesia dengan nilai lebih dari RM15 juta. Bagaimanapun, polis Johor dapat mengesan aktiviti mereka dan setakat ini telah menahan tiga suspek berusia 30-an dan 50-an, termasuk seorang bekas pembantu pentadbiran PTG di Nusajaya, dalam satu siri serbuan beberapa hari lepas. Sumber berkata, bekas pegawai itu, yang telah berkhidmat dengan PTG lebih dari 10 tahun, baru-baru ini telah dipindahkan ke agensi kerajaan lain. Dua lagi suspek, yang didakwa sebagai broker tanah, adalah ahli kumpulan jenayah terkenal dan mempunyai rekod, termasuk dalam kes pembunuhan. Kesemua suspek kini ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca). Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, ketika dihubungi mengesahkan penangkapan itu tetapi enggan mengulas lanjut mengenai siasatan. Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi talian hotline polis di 07-221 2999. Difahamkan, polis telah merampas berpuluh-puluh dokumen, dipercayai telah dicuri, dari bilik kebal di pejabat PTG Nusajaya. Sumber berkata, sindiket itu menggunakan kakitangan pejabat tanah untuk mengenal pasti plot tanah di sekitar bandar yang dimiliki orang asing dan telah ditinggalkan untuk beberapa ketika. "Suspek kemudian menggunakan dokumen keselamatan untuk mencetak nama pemilik baharu bagi penukaran status hak milik sebelum memfailkan dokumen-dokumen di PTG. "Dengan status pemilikan baharu, mereka akan cuba untuk menjualnya kepada pemilik yang berpotensi," kata sumber. Sindiket itu, menurut sumber, telah mengambil masa yang panjang untuk menjalankan kegiatan haram mereka, termasuk menunggu sehingga beberapa tahun bagi menukar beberapa butiran tanah. Ia juga mengeluarkan nombor pasport palsu pemilik tanah, cop pesuruhjaya sumpah dan dokumen undang-undang untuk meyakinkan PTG dan bakal pembeli mereka, tambah sumber itu. Penipuan mereka dikesan apabila seorang peguam yang bertindak bagi pihak anak guamnya mengesyaki sesuatu yang tidak kena dalam penjualan sebidang tanah bernilai jutaan ringgit di Gelang Patah. Peguam itu kemudian menghubungi pemiliknya, seorang warga Singapura, yang tidak tahu tentang penjualan itu atau mempunyai niat untuk menjual tanah berkenaan. Pemilik telah membuat laporan polis baru-baru ini. Difahamkan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri telah membentuk satu pasukan khas untuk menyiasat kes ini dan mengesan beberapa kes melibatkan sindiket terbabit. Pasukan itu juga sedang membuat pemeriksaan untuk memastikan sama ada sindiket itu terlibat dalam kes lain di seluruh negara.