PETALING JAYA: Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas menawarkan pemulangan wang kepada pelanggan yang membeli tiket filem Beauty and the Beast berikutan penangguhan tayangan filem itu. Pelanggan kedua-dua pengusaha pawagam itu yang membeli tiket secara dalam talian atau aplikasi mudah alih akan menerima bayaran balik secara automatik ke akaun bank mereka. Namun, pelanggan yang membeli tiket di kaunter perlu datang ke pawagam lokasi pembelian tiket masing-masing untuk mendapatkan pemulangan wang mereka. Pelanggan dinasihatkan untuk membawa bersama bukti pembelian. GSC dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Isnin berkata bayaran balik akan bermula pada pukul 11 pagi pada Rabu hingga 10 malam, 31 Mac ini. Tayangan filem Beauty and the Beast di Malaysia yang sepatutnya bermula pada 16 Mac ini ditangguhkan. Pengedar filem itu The Walt Disney Co (Malaysia) Sdn Bhd memberitahu kajian semula secara dalaman punca penangguhan tayangan filem itu di negara ini.