suria

Kolam Ikan Bangkai Babi Diarahkan Tutup

PASIR SALAK: Kolam ternakan ikan di sebuah lombong di Kuala Dipang, Kampar yang pengusahanya dipercayai menggunakan bangkai babi sebagai makanan ikan, kini diarah tutup.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata beliau akan segera meminta pegawai perikanan menyiasat perkara itu dan jika dakwaan itu benar, tindakan menutup kawasan ternakan ikan itu akan dilakukan manakala pengusahanya akan dikenakan tindakan.

"Kita tidak tahu, mungkin mereka (pengusaha tidak bertanggungjawab) akan menjual produk (ikan) itu kepada orang Islam. Kita tak tahu (dari mana datangnya ikan itu), lepas itu kita makan. Naya la begini," katanya menurut laporan Bernama.

Tajuddin yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Kemahiran Keibubapaan anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Pasir Salak peringkat Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah di sini pada Selasa.

Perbuatan jijik pengusaha kolam penternakan ikan air tawar di kawasan seluas lima hektar di Kampar itu dikesan dalam operasi Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dan Jabatan Perikanan Perak serta beberapa agensi lain pada 8 Mac.

Malah beberapa tulang dan kesan daging haiwan berkenaan turut ditemukan di kawasan kolam.

Kolam ternakan yang juga bekas lombong bijih timah itu didapati tidak pernah didaftarkan di bawah Jabatan Perikanan dan dipercayai beroperasi secara haram sejak lebih lima tahun lalu, menternak pelbagai jenis ikan termasuk patin, rohu dan tilapia.

Kolam Ikan, Bangkai Babi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain