IPOH: Polis membongkar makmal memproses dadah yang berselindung di sebalik aktiviti penternakan ikan di dalam kawasan ladang kelapa sawit di Gopeng dekat sini. Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Kang Chez Chiang berkata taktik sindiket itu terbongkar hasil serbuan di sekitar Gopeng Isnin lalu yang membawa kepada penangkapan empat lelaki termasuk tiga beradik. Kang berkata dalam serbuan itu, JSJN Bukit Aman, JSJN Perak serta Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman itu turut merampas 74.55 kilogram (kg) dadah jenis syabu serta 29.45kg disyaki Ephedrine atau ibu syabu bernilai kira-kira RM5.2 juta. "Sindiket terbabit didapati menyewa kawasan tersebut untuk menternak ikan sebelum menukarnya menjadi makmal dadah sejak dua bulan lalu. "Terdapat tiga bangsal di kawasan berkenaan, satu dijadikan stor bahan kimia, satu dijadikan makmal dan satu lagi dijadikan tempat pengeringan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, Rabu. Menurut Kang selain pelbagai peralatan memproses dadah serta bahan kimia, turut disita dalam serbuan itu adalah dua buah kereta serta satu utas jam tangan mewah bernilai RM30,000. "Ketika serbuan, keempat-empat anggota sindiket berada di dalam bangsal dan sedang memproses dadah," katanya sambil menambah dua daripada yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan rompakan dan samun. Katanya polis tidak menolak kemungkinan terdapat pihak yang melatih sindiket tersebut berdasarkan kepada cara susunan peralatan serta memproses dadah. "Polis percaya mereka ada kawan yang mengajar kerana cara susunan peralatan sangat teratur dan bersih seperti menggambarkan mereka ini ahli kimia yang bekerja dalam makmal," katanya. Beliau berkata semua dadah yang dihasilkan belum dijual kepada mana-mana pihak dan menyifatkan rampasan tersebut antara yang terbesar di Perak tahun ini. Semua suspek akan direman selama tujuh hari sehingga 20 Mac ini untuk siasatan lanjut, katanya. -- Bernama