PETALING JAYA: Sepuluh pegawai Imigresen Sarawak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menerima rasuah untuk tidak mengambil tindakan terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) di negeri itu. Semua enam pegawai wanita dan empat lelaki itu ditahan di beberapa lokasi termasuk pejabat imigresen Sarawak, Lapangan Terbang Kuching, pejabat imigresen Pending dan pusat tahanan depot Semuja, Serian antara pukul 1.30 petang dan 4.30 petang Rabu. Menurut sumber, SPRM turut merampas wang tunai kira-kira RM10,000 daripada salah seorang suspek. "Kesemua suspek dipercayai menerima rasuah antara RM200 hingga RM5,000 bagi melindungi pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit pekerjaan sah. "Tangkapan ini susulan beberapa operasi yang dilancarkan SPRM dan penahanan beberapa pegawai polis, pengusaha-pengusaha syarikat dan Pati di beberapa lokasi di Sarawak pada bulan lalu," katanya. Antara suspek yang ditahan SPRM. Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi akan ditahan berhubung kes tersebut. Tambah beliau, kesemua suspek yang berusia antara 33 dan 53 tahun akan dibawa ke mahkamah Kuching untuk direman pada Khamis.