suria

H1N1:Ayam Daging Di Pasaran Selamat Dimakan

KOTA BHARU: Penduduk di negeri ini tidak perlu bimbang untuk membeli ayam daging di pasaran kerana ia selamat untuk dimakan walaupun kini berlaku wabak selesema burung (H5N1).

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata setakat ini, penyakit selesema burung hanya membabitkan ayam kampung di negeri ini.

"Setakat ini, wabak ini tidak melibatkan jangkitan pada manusia. Jangkitan virus ini jarang berlaku dan sukar berjangkit daripada seorang manusia kepada manusia lain," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Bagaimanapun, Dr Ahmad Razin berkata sebagai langkah pencegahan, amalan kebersihan perlu diutamakan dalam pengendalian ayam dan unggas lain.

Antara langkah pengendalian ayam yang selamat ialah proses pencucian menggunakan air yang terawat, memastikan tiada sisa-sisa najis yang terlekat di daging dan juga peralatan memasak selain mengamalkan kaedah mencuci tangan dengan air bersih sebelum dan selepas mengendalikan makanan. 

"Kita juga perlu mengelakkan pemprosesan ayam mentah bersentuhan dengan lantai dan menggunakan peralatan yang berbeza bagi mengendalikan ayam mentah dan ayam yang dimasak," katanya. 

Beliau menasihati orang ramai agar tidak melakukan kontak secara terus dengan unggas yang dijangkiti virus H5N1 termasuk air, barang-barang atau pakaian yang dicemari najis haiwan berkenaan. 

Dalam pada itu, beliau berkata penduduk di negeri ini perlu peka dengan tanda-tanda dan gejala selesema burung seperti demam tinggi (melebihi 38 darjah Celcius), sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan letih lesu, dengan mendapatkan rawatan awal di klinik kesihatan. 

Virus H5N1 yang menyerang unggas dikesan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini pada 6 Mac lepas setelah beberapa ekor ayam kampung mati.

Semalam, kerajaan Kelantan telah mengisytiharkan wabak selesema burung sebagai bencana negeri.

Ini berikutan merebaknya wabak itu di dua lagi jajahan iaitu Bachok dan Pasir Puteh selepas Kota Bharu dan Pasir Mas.-- Bernama


H1N1, selesema burung, Kelantan

Artikel Lain