suria

Nahas Pesawat Beechcraft Bukan Masalah Teknikal

Sebuah pesawat Beechcraft B200T milik TUDM yang terhempas di dalam kawasan Pangkalan Udara Butterworth pada Disember lalu. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang masalah teknikal pada pesawat jenis Beechcraft King Air 200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas di Pangkalan Udara TUDM Butterworth, Disember tahun lalu.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata hasil laporan lembaga siasatan mendapati kemalangan itu bukan berpunca daripada masalah teknikal.

"Ekoran kejadian itu pihak TUDM telah menghantar seorang jurulatih penguji TUDM ke pusat simulasi di Texas, Amerika Syarikat untuk buat penilaian mengenai nahas tersebut.

"Hasil daripada penilaian itu mendapati tiada sebarang masalah teknikal dan ini membolehkan pesawat Beechcraft 200T kembali beroperasi," katanya ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, Khamis.

Johari menjawab soalan Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS-Kubang Kerian) yang mahu tahu hasil laporan siasatan tragedi nahas pesawat Beechcraft yang terhempas di Butterworth Pulau Pinang hujung tahun lalu.

Nahas pada 21 Disember itu mengorbankan seorang juruterbang dan tiga yang lain cedera parah.

Susulan kejadian itu, tiga lagi pesawat Beechcraft B-200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Subang, tidak dibenarkan beroperasi buat sementara waktu untuk membantu siasatan punca nahas berkenaan.

Memberi penjelasan lanjut, Johari berkata hasil laporan lembaga siasatan mendapati kemalangan itu berlaku semasa pembantu juruterbang pelatih melakukan penerbangan 'Asymmetric Circuit' iaitu simulasi satu enjin tidak berfungsi.

Katanya ia merupakan latihan yang perlu dilalui oleh semua juruterbang TUDM semasa menjalani latihan peralihan pesawat.

"Kemalangan ini diklasifikasikan sebagai 'training hazard'," katanya.

Johari berkata pihak TUDM sentiasa menitikberatkan piawaian yang tinggi  dalam semua aspek latihan dan operasi serta memastikan semua pesawat diselenggara dengan baik.

"Usia pesawat tidak penting, yang penting ialah penyelenggaraan, sebagai contoh pesawat Nuri masih lagi digunakan sehingga kini," katanya. - BERNAMA

TUDM, pesawat Beechcraft

Artikel Lain