ASSALAMUALAIKUM. Minggu lalu sepatutnya saya bercerita mengenai tawaf wada’ bersama-sama anak syurga yang menunaikan umrah tetapi menukarnya kepada kisah sahabat di Tanah Suci Makkah yang kembali ke rahmatullah pada 6 Mac lalu. Tawaf wada’ perlu disempurnakan sebelum meninggalkan Makkah. Biar saban tahun diundang ke Tanah Suci namun tawaf wada’ tetap mengundang kesedihan. Berat hati meninggalkan Tanah Suci dan lazimnya saya lebih gemar bersendirian apabila mengerjakan tawaf wada’. Hanya beberapa kali sahaja saya menyempurnakan tawaf wada’ secara berkumpulan kerana lebih selesa ia dilaksanakan bersendirian. Tanggal 3 Januari 2017, semua jemaah dinasihatkan agar bangun awal iaitu sekitar jam 3 pagi dan bersiap sedia untuk ke Masjidil Haram bagi menyempurnakan tawaf wada’ sebelum meninggalkan Tanah Suci Makkah. Kami dinasihatkan oleh pihak pengurusan Zahafiz Travel & Tours ketika taklimat berangkat pulang ke tanah air, agar mengerjakan enam pusingan tawaf sebelum solat Subuh dan selepas itu menyempurnakan solat Subuh berjemaah di masjid serta menyambung semula baki satu lagi pusingan tawaf wada’ yang belum disempurnakan. “Jam 3.45 pagi kita semua berkumpul di depan lif untuk ke masjid dan tawaf,” ujar saya kepada Zuraini dan Mohd Zaini (kedua-dua pengiring) sebelum masuk ke dalam bilik hotel penginapan. Mereka mengangguk. Masing-masing keletihan setelah mengemas bagasi dan ingin segera melelapkan mata. Seperti dijanjikan, kami berkumpul di depan lif. Anak istimewa yang dibawa untuk menunaikan tawaf wada’ ketika itu ialah Muhaimin, Rozidi dan Nurul Atikah. Hampir jam 4 pagi, berjalanlah mereka bersama-sama Mohd Zaini, Aziah (ibu Mohd Khuzairy), Fauziah (ibu Nurul Atikah), Zuraini dan saya dari Hotel Mira Ajyad menuju ke Masjidil Haram. Along atau Mohd Izanuddin dan Mohd Khuzairy tidak begitu sihat manakala Mior Azib pula menyempurnakan tawaf wada’ dengan keluarganya. Saya mengetuk pintu bilik seorang lagi pengiring, Haji Md Omar Ariffin dan tiada maklum balas, sekali gus fahamlah saya bahawa dia, isteri dan anak istimewa pasangan itu, Nor Azizah sudahpun terlebih dulu ke Masjidil Haram. Suasana hening sepanjang perjalanan yang mengambil masa kira-kira 10 minit untuk ke pintu masuk King Fahd. Masih sepi dan belum begitu ramai jemaah memasuki ruang dalam masjid. Sejurus tiba di dalam masjid, kami menuju ke dataran Kaabah untuk memulakan tawaf wada’. Ramai juga jemaah yang bertawaf ketika itu. Saya mengingatkan agar semua berniat tawaf wada’. Alhamdulillah, dipermudahkan tawaf kami kerana tidak berpecah ketika itu. Beberapa kali terdengar Fauziah memujuk Nurul Atikah untuk terus bertawaf. Ada beberapa ketika Nurul Atikah agak ‘moody’ dan tidak mahu berjalan seketika. Mungkin dia tidak selesa berada di tengah-tengah ratusan jemaah. Sejurus azan Subuh berkumandang dan kami selesai pusingan keenam, pengawal keselamatan di dataran Kaabah mula mengarahkan jemaah agar bersiap sedia untuk bersolat dan berhenti tawaf sebagai persiapan untuk bersolat Subuh. Ketika itu, Mohd Zaini terpisah daripada kumpulan kami kerana keadaan di dataran Kaabah semakin sesak dan padat, dipenuhi sebahagian besar jemaah lelaki. Saya dan Zuraini masih bersama-sama Fauziah, Aziah dan Nurul Atikah manakala Rozidi serta Muhaimin kekal berdua. “Nanti Min tunggu di sini tau,” ujar saya kepada Muhaimin kerana jemaah wanita perlu bersolat di saf belakang sedangkan lelaki boleh bersolat di saf hadapan dan di perkarangan Kaabah. “Ok aunty,” balas Muhaimin ringkas. Sedikit kerisauan terbit dalam hati saya kerana memikirkan Muhaimin dan Rozidi hanya berdua namun saya yakin mereka akan menunggu saya dan yang lain untuk menyelesaikan tawaf pusingan ketujuh. Setelah selesai solat Subuh, saya, Zuraini, Aziah, Fauziah dan Nurul Atikah bergerak ke tempat yang dijanjikan untuk bertemu Muhaimin dan Rozidi. “Manalah Muhaimin dan Rozidi?” luah saya. “Kak Ana kita berjalan ke depan sikit. Di sini, ramai sangat orang,” pinta Zuraini. Berjalanlah kami perlahan-lahan menuju ke depan sedikit melepasi kawasan berbumbung di dalam masjid. “Tu mereka kak Ana,” ujar Zuraini. “Alhamdulillah. Mereka dah datang,” balas saya. Berjalanlah kami menuju ke garisan permulaan tawaf. “Kita selesaikan satu lagi pusingan, insha Allah. Selepas itu, kita solat sunat,” ujar saya. Saya kekal bersama Nurul Atikah dan Fauziah, Muhaimin dan Rozidi manakala Zuraini pula dengan Aziah. Usai tawaf wada’, kami bersolat sunat tawaf di dataran Kaabah. Saya turut menyuruh Muhaimin dan Rozidi bersolat sunat tawaf . Tidak lama selepas itu terlihat Aziah dan Zuraini. Mereka turut mengambil tempat untuk bersolat dan berdoa. Nurul Atikah, anak istimewa bermasalah Sindrom Down dan berasal dari Melaka, duduk di antara saya dan ibunya. Selesai solat, saya membuka buku dan berdoa. Doa yang panjang disertai linangan air mata menyebabkan Nurul Atikah mungkin kehairanan sehingga dia menyapa saya. Dengan lembut dia memegang tangan saya dan berkata: “Kenapa nangis? Kenapa nangis?” tanya anak istimewa berusia 24 tahun itu. Saya tidak menjawab pertanyaannya. Terdengar dia bertanya ibunya. “Kenapa kawan mama nangis?” tanya Nurul Atikah. Saya kurang pasti jawapan diberikan oleh ibunya itu. Ketika tangisan saya semakin keras, dia mengusap tangan saya dan berkata: “Jangan nangis. Kenapa nangis?” tanya Nurul Atikah bertalu ingin tahu. Saya sekadar berkata: “Doa…” ujar saya hiba dan memegang tangannya. Melihatkan keprihatinan Nurul Atikah, semakin sayu hati saya dan air mata terus mengalir deras. Saya menutup wajah saya seketika. Nurul Atikah memandang saya yang mengesat air mata dengan jari jemari. Dia kemudiannya memberi sehelai tisu kepada saya dan sekali lagi berkata jangan nangis. Setelah semua selesai bersolat dan berdoa, kami berjalan menuju ke eskelator untuk naik ke paras atas. Singgah seketika mengambil air zamzam dan seterusnya meninggalkan Masjidil Haram. Ketika berjalan keluar dari perkarangan masjid, terlihat ketua rombongan, Haji Rodi berjalan menuju masjid untuk menyempurnakan tawaf wada’. Kami pulang semula ke hotel untuk bersarapan. Kurang selera hendak menikmati sarapan pada pagi itu. Setelah itu, saya naik ke bilik hotel penginapan dan memasukkan sedikit lagi barangan di dalam bagasi bimbit. Sebelum turun ke lobi, saya mencari Along yang di bawah penjagaan saya. Sejurus tiba di luar pintu biliknya saya terdengar suaranya berkata: “Mak Aji (panggilan untuk saya) sombong. Tak sarapan dengan Along pun,” ujarnya. Saya tersenyum di luar pintu bilik. Selepas itu saya mengetuk pintu yang tidak berkunci dan renggang. “Along, barang dah masukkan dalam beg sandang hijau ke? “Dah…” keras suara Along dan tidak mahu memandang saya. Dalam hati saya berkata, dia merajuk agaknya dan ada yang dia marahkan pada saya. Setelah bertanya kepada Mohd Zaini, barulah saya tahu bahawa dia merajuk kerana saya tidak bersarapan dengannya pada pagi itu. Saya tersenyum mendengarnya. Pada jam 8 pagi semua jemaah sudah bersedia menaiki bas untuk berangkat pulang. Kami perlu ke Madinah untuk menaiki pesawat Penerbangan Mas sewa khas. Alhamdulillah, segala urusan penerbangan berjalan lancar dan kami tiba di tanah air pada jam 10 pagi. Sesungguhnya, kembara umrah bersama anak syurga meninggalkan kenangan abadi. Banyak yang dipelajari dan gelagat mereka menghiburkan hati. Syukur ke hadrat Ilahi kerana umrah bersama anak syurga menjadi realiti hasil ihsan penaja dan penyumbang yang bermurah hati mendokong usaha murni. InsyaAllah bersambung minggu hadapan.