PUTRAJAYA: Masalah pengurusan bagasi yang menyebabkan kelewatan jadual penerbangan sektor pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada Jumaat telah dapat diatasi menjelang tengah hari. Pengarah Urusan Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali berkata pihaknya dimaklumkan masalah pengurusan bagasi itu berpunca daripada kekurangan tenaga kerja syarikat pengendalian darat, AeroDarat Services Sdn Bhd. "Perubahan jadual kerja baharu syarikat terbabit yang menyebabkan jumlah pekerja mereka tidak mencukupi untuk menguruskan bagasi para penumpang pada hari ini," katanya. Ekoran itu, ia menyebabkan kelewatan antara 40 dan 50 penerbangan pagi, katanya. "Keadaan telah kembali terkawal menjelang tengah hari," katanya kepada Bernama mengulas gambar yang tular di media sosial menunjukkan keadaan di sebuah pusat pengumpulan bagasi kelihatan tidak terurus. Badlisham berkata pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan mengarahkan kakitangan MAHB untuk membantu AeroDarat dalam pengurusan bagasi yang tergendala itu, selain mendapatkan pertolongan dari para pekerja Malaysia Airlines. Menurutnya, AeroDarat Services dipertanggungjawabkan untuk mengendali bagasi penumpang bagi lebih 30 syarikat penerbangan, manakala syarikat penerbangan yang lain, ia diuruskan oleh KL Airport Services Sdn Bhd (KLAS). -Bernama