BUKIT BERUNTUNG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan dua lagi kanak-kanak yang masih hilang selepas dibawa arus Sungai Sekolah Kebangsaan Cina (SKC), Bukit Beruntung dalam kejadian lewat petang Jumaat itu. Setakat ini, lima mayat telah ditemui, manakala dua lagi mangsa masih hilang. Jenazah semua mangsa terlibat ditempatkan di Bilik Mayat Hospital Kuala Kubu Bahru. Empat daripadanya telah dituntut keluarga masing-masing dan dibawa ke Masjid Jamek Rantau Panjang untuk urusan pengebumian. Mayat kelima, murid berusia 11 tahun pula masih di hospital berkenaan. Sehingga kini 26 anggota bomba dari Balai Bomba Kuala Kubu Bahru dan Shah Alam masih meneruskan operasi mencari dua lagi kanak-kanak yang masih hilang. Kejadian berlaku ketika lapan kanak-kanak terbabit yang berusia antara 10 hingga 13 tahun sedang memancing di sungai Kampung Timah pada petang Jumaat, Mayat dua beradik itu dikenali sebagai Shahrizwan dan Shahrizat Abdullah ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian. Dua lagi mayat ditemui sekitar jam 9.45 hingga jam 10 malam pada Jumaat. Mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Ikhwan Mohd Ridhwan, 10, ditemui pasukan penyelamat pada jam 9.47 malam dan Mohd Aiman Fitri Md Asmadi, 12, ditemui 10 minit kemudian. Identiti kedua-dua mangsa disahkan oleh ahli keluarga mereka yang turut berada di lokasi kejadian. Manakala mangsa kelima Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, ditemukan pada jam 12.20 malam (Sabtu) kira-kira satu kilometer dari tempat dua rakannya ditemukan. Dua lagi mangsa yang hilang dikenali sebagai Mohd Iskandar Shah Abdullah, 11, dan Muhammad Aiman Kamarul Arippin, 12.