KOTA BARU: Tiada lokasi baharu yang positif wabak selesema burung (H5N1) di Kelantan sejak Sabtu, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan (JPVK). Dalam kenyataannya pada Ahad, JPVK berkata, sebanyak 426 ekor ternakan unggas dan 463 biji telur dilupuskan pada Sabtu manakala aktiviti pemantauan dan pelupusan akan diteruskan dari semasa ke semasa. "Sehingga semalam, 28 lokasi disahkan positif virus H5N1 di enam jajahan iaitu Kota Bharu (14 lokasi), Pasir Mas (enam lokasi), Tumpat (tiga lokasi), Tanah Merah (satu lokasi), Bachok (satu lokasi) dan Pasir Puteh (tiga lokasi), melibatkan 43 premis. "Jumlah pelupusan adalah 31,353 ekor ternakan dan 12,267 biji telur. Sebanyak 3,012 jumlah sampel diambil daripada 502 pemilik," menurut kenyataan itu. JPVK berkata, pasukan petugas juga digerakkan untuk menangkap dan melupuskan kesemua unggas dalam 1 kilometer (km) radius dari setiap lokasi yang dikesan penyakit. Sementara itu, pasukan pemantau yang aktif digerakkan di kawasan 1 hingga 10km radius dari setiap lokasi kejadian penyakit. Menurut JPVK, wabak itu kini sedang dikawal dalam radius 30km dari lokasi Kampung Pulau Tebu membabitkan enam jajahan yang terlibat dengan H5N1. "Dalam pemantauan aktif ini, pemerhatian klinikal terhadap semua unggas dilakukan dan pengambilan sampel calitan kloakal dan karkas (jika terdapat kematian) diambil. "Sampel-sampel tersebut dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh, Perak untuk ujian pengesahan kehadiran virus avian influenza," menurut kenyataan itu. Dalam pada itu, JPVK turut memaklumkan tiada ladang ternakan ayam komersial dalam 10km radius kawasan pengesanan penyakit serta langkah-langkah tambahan dikuatkuasakan termasuk pembasmian kuman di premis yang dijangkiti, kawalan pergerakan dan kuarantin zon jangkitan selama 42 hari. "Keadaan adalah terkawal dan terhad kepada kawasan yang dijangkiti dan melibatkan ayam kampung daripada penternak kecil-kecilan sahaja dan sekatan jalan raya dikendalikan sebagai kawalan pergerakan unggas dari negeri Kelantan di empat lokasi strategik. "Setakat ini tiada kes jangkitan dikesan dalam kalangan manusia dan ayam pedaging serta telur yang dimasak adalah selamat untuk dimakan. Orang ramai diminta melaporkan kepada Jabatan Veterinar terdekat jika ada apa-apa kejadian kematian ayam," menurut kenyataan itu. Kerajaan negeri Kelantan pada 15 Mac lepas mengisytiharkan wabak selesema burung (H5N1) sebagai bencana negeri selepas beberapa ekor ayam kampung mati akibat wabak berkenaan di Kampung Pulau Tebu, Tunjong di sini pada 6 Mac lepas. - Bernama